KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pagi ini tertumpu kepada kedudukan terkini jumlah hutang negara, bantuan Malaysia kepada kerajaan Turkiye dan Syria berikutan bencana gempa bumi serta isu kes rasuah.
Isu-isu tersebut antara yang terkandung di dalam Aturan Urusan Mesyuarat, di mana ia akan dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Wong Kah Woh (PH-Taiping) pagi ini meminta Perdana Menteri menyatakan punca kenaikan hutang negara setiap tahun serta usaha kerajaan menyelesaikannya.
Soalan berkenaan gempa bumi akan diajukan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta perincian kos keseluruhan atur gerak anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke kawasan bencana di Turkiye dan Syria.
Sementara itu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang bertanyakan mengenai penyiasatan kes rasuah meminta Perdana Menteri menyatakan strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan penyiasatan jenayah itu mendatangkan impak yang besar.
Selepas sesi soal jawab, Perdana Menteri dijadual membentangkan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemilih yang akan dipengerusikannya serta melantik enam ahli parlimen lain.
Selain itu, turut dibentangkan ialah usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja yang akan menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari sehingga 30 Mac ini. – UTUSAN











