PETALING JAYA: Pemain industri perhotelan kecewa Belanjawan 2023 tidak dapat memberi kesan positif untuk jangka masa panjang kepada mereka.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, belanjawan 2023 sepatutnya perlu ada suatu penambahbaikan khusus bagi industri perhotelan serta pelancongan.
Menurut beliau, kerajaan seharusnya berupaya untuk memperkenalkan suatu bajet yang lebih berkesan dalam menyelesaikan ancaman-ancaman industri dan mendapatkan kembali cukai yang hilang atau ketirisan hasil akibat kegagalan dalam mengambil tindakan awal.
“Ini kerana ancaman industri seperti penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) dan semua jenis agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang terjadi disebabkan ketiadaan undang-undang khusus untuk mengawal selia.
“Kami juga kecewa apabila tiada perubahan terhadap usaha untuk menaikkan Nilai Ambang Tahunan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi Industri Perhotelan daripada RM 500,000.00 kepada RM 1,500,000.00 yang mana Hotel Bajet adalah suatu industri yang digunakan oleh Golongan B40 yang telah disuarakan sekian lama,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya. Malaysia seharusnya berupaya untuk memperkenalkan suatu bajet yang lebih baik, mesra dan berkesan bagi industri perhotelan secara khasnya.
Jelasnya, industri pelancongan secara amnya merupakan suatu industri berdaya maju yang terkesan dalam memastikan kelestarian dalam memacu pemulihan industri perhotelan pada tahun ini.
“Kami sering kali menggariskan perkara-perkara yang seharusnya dititikberatkan oleh Kerajaan Malaysia dalam penyediaan bajet bagi tahun 2023.
“Kami berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbang dalam membantu industri perhotelan untuk bertahan dan pulih secara berperingkat pada tahun-tahun hadapan,” jelasnya. – UTUSAN