Ibu tabah uruskan anak derita kanser usus

Ibu tabah uruskan anak derita kanser usus

SITI Nazirah Razali (kiri) menunjukkan keadaan Nur Ariana Mohd. Shahrul Afendi yang mengidap kanser perut sejak tiga tahun lalu di Kampung Pauh Belukar, Badang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU: Seorang ibu tetap tabah menguruskan anak perempuannya berusia 11 tahun yang menderita kanser usus di Kampung Pauh Belukar, Badang, Pengkalan Chepa, dekat sini.

Nur Ariana Mohd. Shahrul Afendi disahkan menghidap penyakit itu tahun lalu selepas doktor mengesan terdapat ketumbuhan bersaiz 20 sentimeter di dalam perutnya.

Siti Nazirah Razali, 33, berkata, peringkat awal anaknya itu mengalami sakit perut dan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan mengesahkan dia hanya mengalami masalah di bahagian usus dan najisnya kering menyebabkan sembelit.

Menurutnya, bagaimanapun Nur Ariana terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas masalah itu terus berlarutan dan hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesan terdapat ketumbuhan di dalam perut. 

“Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan dan pernah ditahan di wad hampir dua bulan selepas disahkan mengidap kanser bagi menjalani rawatan kimoterapi. 

“Akibat penyakit itu, perut Nur Ariana semakin membesar dan urat mulai timbul di sekeliling sehingga menyebabkan dia sukar bergerak dan berjalan seperti biasa. Ekoran itu dia memerlukan bantuan untuk bergerak selepas tidak dapat berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Siti Nazirah yang merupakan suri rumah sepenuhnya mendedahkan, Nur Ariana turut mengalami masalah kemurungan akibat tertekan dengan keadaan yang perlu menerima rawatan di hospital setiap masa selain menjalani rawatan kemoterapi. 

Katanya, Nur Ariana sebelum ini merupakan seorang murid yang ceria dan perwatakan itu sudah bertukar sejak diserang penyakit itu.

“Sudah setahun dia tidak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem, Pengkalan Chepa. Melihatkan keadaannya, saya menjadi sebak.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana dia terpaksa menanggung dan menahan kesakitan akibat penyakitnya itu,” ujarnya.

Siti Nazirah berkata, pendapatan suaminya, Mohd. Shahrul Afendi Mat, 36, yang tidak menentu menyebabkan mereka berdepan dengan masalah kewangan.

“Mujurlah kami terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, dapatlah juga meringankan beban,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Mohd. Shahrul Afendi Mat di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0300141100042052.  – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN