Sektor perbankan dijangka catat keputusan kukuh suku pertama 2026 - Utusan Malaysia

Sektor perbankan dijangka catat keputusan kukuh suku pertama 2026

PERMODALAN sistem perbankan kekal tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan negara dijangka mempamerkan prestasi kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, dipacu oleh pertumbuhan pinjaman yang berdaya tahan serta persaingan deposit yang semakin reda.

MBSB Research berkata, momentum pendapatan sektor itu dilihat bertambah baik meskipun berdepan dengan ketegangan geopolitik global dan tekanan kos yang berterusan.

“Kualiti aset dan tekanan peruntukan kekal terkawal sepanjang suku dikaji memandangkan kesan kenaikan kos akibat konflik peperangan belum memberi impak material secara menyeluruh kepada sektor berkenaan.

“Walau bagaimanapun, perkara ini (kenaikan kos) lebih menjadi kebimbangan untuk suku-suku berikutnya,” katanya dalam nota penyelidikan.

Berdasarkan statistik perbankan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat lonjakan dalam permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan yang menyokong pertumbuhan pinjaman industri secara keseluruhan pada suku pertama 2026.

Namun, MBSB Research memberi amaran bahawa momentum tersebut mungkin sukar dikekalkan pada masa hadapan ekoran peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi yang mula membebani perniagaan.

Mengenai pemberian dividen, firma itu menjangkakan kemungkinan untuk berlaku kejutan dalam nilai agihan adalah tipis bagi keseluruhan sektor, dengan hanya AMMB Holdings Bhd. (AMMB) dan Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) dijangka mengisytiharkan dividen standard suku ini.

“Alliance Bank dilihat masih terikat dengan kedudukan modalnya, sekali gus mengehadkan ruang untuk pembayaran dividen yang lebih tinggi daripada jangkaan,” tambahnya.

MBSB Research memilih Hong Leong Bank Bhd. dan AMMB sebagai pilihan utama dalam sektor tersebut.

Dari segi risiko, firma itu menggariskan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan sebagai faktor penurunan utama yang boleh melemahkan pengembangan pinjaman dan kualiti aset.

Selain itu, potensi pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut dilihat sebagai risiko yang boleh mengecilkan Margin Faedah Bersih (NIM) bank dalam jangka masa pendek, selain kemungkinan keperluan peruntukan lebih tinggi jika kualiti aset merosot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN