BATU PAHAT: Pergerakan keluar masuk murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini terkawal dan lancar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Noor Zahian Mohd. Jemadi berkata, tinjauan pihaknya mendapati proses berkenaan dipantau guru bertugas serta pengawal keselamatan.
“Pergerakan keluar masuk murid khususnya selepas tamat sesi pembelajaran untuk pulang ke rumah masing-masing terkawal. Murid-murid dilihat mematuhi arahan cikgu dan pentadbir sekolah.
“Kehadiran guru bertugas serta pengawal keselamatan di kawasan pagar sekolah turut membantu meningkatkan aspek keselamatan di lokasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada masa sama, Noor Zahian turut mengharapkan kerjasama ibu bapa untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan keselamatan yang akan diperketatkan.
“Kita berharap SOP baharu akan dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, khususnya anak-anak kecil yang menuntut ilmu di sekolah ini,” katanya.
Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, Nur Aini Umairah Mohd. Fareez maut setelah digilis sebuah van dipandu seorang lelaki warga emas di hadapan pagar sekolah ketika tamat sesi persekolahan. – UTUSAN











