PETALING JAYA: Isteri penyanyi popular 1980-an, Ibnor Riza, Sarimah Sulaiman, mengakui berdepan masalah kewangan, terutama untuk menampung kos perubatan suaminya yang kini terlantar di hospital.
Sarimah, 51, berkata, keadaan Ibnor ketika ini membimbangkan keluarga, pada masa sama, mereka juga terpaksa meminta bantuan, termasuk kos perjalanan bagi tujuan rawatan suaminya.
“Kami mohon doa daripada sesiapa yang mengenali Ibnor untuk diberi kesembuhan segera. Apabila Ibnor mula jatuh sakit, punca pendapatan utama kami terjejas. Kami berdepan pelbagai kesukaran.
“Saya memohon orang ramai untuk menghulurkan bantuan dalam apa cara dan bentuk sekalipun. Setidak-tidaknya usaha itu dapat mengurangkan beban kami sekeluarga. Sudah tiga bulan dia (Ibnor) sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu, baru-baru ini dikejarkan ke hospital selepas pengsan tiga kali.
Ibnor juga terpaksa ditidurkan sebelum kembali sedar dan beransur stabil, namun masih dalam pemantauan doktor.
Januari lalu, penyanyi itu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu sesak nafas dan hampir pitam.
Penyanyi itu juga dilaporkan mengalami masalah kesihatan lain seperti menanggung pelbagai penyakit serentak seperti kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol tinggi.