Hanya ada satu Sherie Merlis - Utusan Malaysia

Hanya ada satu Sherie Merlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUDAH hampir 10 tahun saya tidak photoshoot. Kekok pula rasanya.” Itu yang acap kali disebut-sebut pelakon hebat, Sherie Merlis. Benar, janggal itu ada tetapi kalau namanya ‘artis lama’, mood dan aura senang datang. 

Tidak perlu disuruh-suruh, pantas sahaja menukar gaya. Sudah lama sebenarnya menyimpan hasrat untuk membingkaikan pelakon wanita ini sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera. Tetapi, ada sahaja halangan. 

Kesibukannya sebagai pelakon dan mungkin juga, dia belum bersedia. Kesempatan ini saya gunakan sepenuhnya. 

Saya mahu dia tampil polos, tanpa sebarang kilauan dan busana yang gah kerana dia tidak perlu semua itu. Aura bintangnya sudah terserlah. 

Membuka gelanggang cerita tentang perjalanan seninya, Sherie tidak pernah menyesali bergelar anak seni. Perjalanan yang ditempuh itu banyak membentuknya sebagai manusia.

“Dulu ketika mula-mula mahu berlakon, memang sukar. Banyak yang saya kena telan sendiri. Ketika itu pula saya masih muda, jadi penerimaan dan kematangan sudah pasti berbeza daripada sekarang. 

“Cuma bila ingat kembali, susah mencipta nama Sherie Merlis ini. Tetapi lebih susah untuk bertahan dan kekal relevan. Untuk membuktikan bakat dan kemampuan serta mahu buat orang percaya dengan kita. 

“Saya bersyukur, dulu dan sekarang, cuma ada satu Sherie Merlis. Tiada dua. Setiap yang dilalui adalah pengalaman yang memanusiakan saya,” kata pelakon yang meningkat naik menerusi filem Part Time (1989). 

Lantas apa lagi yang mahu dikejar ibu empat anak ini? Adakah pengiktirafan atau anugerah menjadi dambaan? Atau masih ada impian yang belum diraih? Masih adakah sisa kekecewaan di sudut hatinya yang mungkin selama ini dipendam sendiri? 

Sementelah, resam hidup anak seni, mana mungkin boleh lari daripada kekecewaan dan kecaman. 

Melayangkan soalan itu, Sherie hanya menggelengkan kepala. Mungkin dia tidak mahu menjawab, mengiyakan atau menidakkan apa-apa. Mungkin juga soalan itu terlalu berat untuk dia susun ayat menjadi jawapan. Dia hanya tersenyum dan meminta agar soalan lain ditanya.

Campak sahaja skrip, saya buktikan

KEHEBATAN lakonan pemilik nama Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin ini tidak perlu dipertikai. Beri apa sahaja watak, dia mampu merealisasikan. 

Namun, timbul persoalan, mengapa dia tidak kerap muncul di skrin televisyen atau layar perak?

Adakah dia terlalu selektif dalam memilih naskhah? Adakah dia menilai sesebuah tawaran berdasarkan siapa pengarahnya? Siapa pelakon bersama? Atau kekuatan skrip menjadi asbab utama? 

“Saya selektif? Tidak sama sekali. Saya tidak memilih. Saya tutup mata dan pilih naskhah yang senang dicapai. Saya suka mencabar diri. Tengok di mana ‘tuah’ saya. Kalau perlu jadi guru, saya jadi guru. 

“Siapa pengarah atau pelakon bersama juga bukan masalah. Saya senang dan terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja. Cuma sebagai pelakon, kita ada hak untuk menilai dan berbincang. 

“Soal rezeki, kita tidak boleh merancang. Tawaran itu ada, tetapi berbalik kepada masa dan jadual. Ada beberapa tawaran tetapi kita baca-baca dahulu,” jelas pelakon yang popular dengan drama, Mat Despatch itu. 

Lebih tiga dekad dalam kanvas seni lakonan bukan sesuatu yang singkat. Lebih 12  filem dan puluhan drama dibintangi, apa lagi yang dia mahukan? Watak bagaimana menjadi idaman atau dia sudah puas dengan permainan emosi pelbagai watak? 

“Jiwa pelakon tidak akan pernah puas. Saya masih dahagakan watak dan skrip yang benar-benar membuatkan saya lelah serta tercabar. Karakter di luar zon selesa dan tidak pernah dibawa. 

“Saya mengharapkan penerbit atau pengarah di luar sana berani untuk mencabar saya. Lari daripada kebiasaan. 

“Campak sahaja skrip itu, saya akan buktikan,” kata pemenang tro Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2012 menerusi drama, Di Telapak Kaki Bonda itu.

Nenek Bongkok Tiga

MELEWATI 34 tahun dalam industri lakonan, anak kelahiran Sarawak ini sentiasa mahu mencabar diri. Dia sebolehnya tidak mahu hanya berdiri dengan watak sinonim yang membosankan. 

Membawakan watak sebagai nenek dalam drama bersiri Viu, Nenek Bongkok Tiga, Sherie mempunyai sebab menerima karakter yang melangkaui usia sebenarnya, 50 tahun. 

“Kenapa saya terima? Tajuknya juga sudah menarik hati. Bila ditawarkan untuk berlakon dalam naskhah yang diangkat daripada kisah legenda, saya cukup teruja. Apatah lagi, di platfrom yang cukup hebat, Viu. 

“Dalam drama ini, saya perlu menjadi nenek yang sangat tua. Bayangkan, saya belum setua itu dan belum ada cucu, macam mana saya tiba-tiba perlu menjadi nenek kepada lebih lima remaja. 

“Dalam drama itu juga, saya perlu ‘mendidik’ mereka sedangkan saya tidak tahu apa yang mereka mahukan. Setiap orang mempunyai kisah dan agenda tersendiri. Itu satu cabaran untuk saya warnakan watak nenek,” ujarnya. 

Selain Sherie, Nenek Bongkok Tiga yang mula bersiaran minggu ini turut menampilkan rakan baiknya, Datin Seri Sofia Jane dan pelakon handalan lain antaranya Hun Haqeem, Meerqeen, Sara Ali serta ramai lagi. 

Berkongsi pengalaman bekerja dengan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim dan rakan pelakon muda yang lain, bintang Keluarga Baha Don itu tidak mempunyai masalah untuk mencipta keserasian menghidupkan watak tersebut. 

“Seronok berlakon dengan pendatang baharu. Selain dapat berkongsi ilmu, saya juga belajar perkara baharu. Kita saling bantu untuk menjayakan penggambaran. Rasanya ini juga kali pertama saya bekerja di bawah arahan Yusry. 

“Alhamdulillah, walaupun penggambaran banyak dijalankan waktu malam, komitmen yang diberikan seluruh kru produksi memang hebat. Bila tengok hasilnya, berbaloi segala keringat!” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya