Guan Eng mohon nota keterangan kes lain di Shah Alam

Guan Eng mohon nota keterangan kes lain di Shah Alam

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - FOTO/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes rasuah Lim Guan Eng mahukan nota keterangan satu prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menyokong permohonan mendapatkan laporan forensik dua ahli perniagaan berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, nota keterangan itu penting bagi menyokong permohonan pihak pembelaan untuk menentukan isu pemberian rasuah yang didakwa bukan untuk Guan Eng, sebaliknya untuk pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi membolehkan pihak pembelaan mengakses nota keterangan tersebut terlebih dahulu yang dijangka diperolehi daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam tempoh dua minggu.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 1 Mac ini bagi mendengar permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa untuk Guan Eng.

Permohonan bagi mendapatkan laporan forensik itu sepatutnya didengar hari ini.

Isu mengenai perbualan WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan lalu melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Pihak pembelaan menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ bukan untuk Guan Eng, 62, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Pada awal prosiding, Gobind memaklumkan, wang RM2 juta yang merupakan subjek pertuduhan terhadap Gnanaraja di Shah Alam, merupakan wang sama yang menjadi asas dalam pertuduhan terhadap Guan Eng.

Ujar beliau, pihak pendakwaan dalam kes Guan Eng bersandarkan kepada keterangan saksi pendakwaan ke-28, Azli Adam berhubung pembayaran baucar bertarikh 17 Ogos 2017 menerusi cek Public Bank bertarikh sama yang didakwa dibayar kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagaimanapun, keterangan saksi sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam kes Gnanaraja menyatakan, cek yang sama diserahkan kepada pihak ketiga untuk tujuan berbeza.

“Cukup jelas bahawa wang yang sama namun melibatkan kes berbeza di antara kes Guan Eng dengan kes di Shah Alam dan sebab itu penting bagi kami untuk mendapatkan nota keterangan kes di Shah Alam.

“Saksi tersebut dalam kes Guan Eng tidak berkata benar di mahkamah ini dan perkara ini perlu diputuskan kemudian.

“Pihak pendakwaan sengaja menyembunyikan maklumat dalam kes Guan Eng dan tindakan ini sangat bahaya,” ujar Gobind.

Ujar peguam bela, pihaknya telah menulis kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk mendapatkan nota keterangan namun ditolak pada 11 Januari lalu.

Menurut Gobind, pembelaan sekali lagi mengemukakan permohonan dan dimaklumkan bahawa nota keterangan disediakan dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan prosiding hari ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya