KOTA BHARU: Kerajaan perlu berani menjadikan getah beku tempatan sebagai bahan penurap dalam penyelenggaraan jalan raya di negara ini sebagai salah satu usaha menambah jangka hayat pekebun dan penoreh getah pada masa hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman berkata, langkah itu akan menjadikan harga getah lebih stabil sekali gus membangkitkan semangat para pekebun dan penoreh untuk terus berjuang meningkatkan hasil komoditi itu.
“Isu menggunakan getah asli tempatan sebagai bahan penurap dalam penyelenggaraan jalan raya bukan perkara baharu kerana kerajaan Malaysia telah pun menandatangani persetujuan persefahaman dengan dua negara pengeluar utama getah asli iaitu Indonesia dan Thailand.
“Ia dilakukan melalui International Tripartite Rubber Council (ITRC) pada tahun 2001 dan International Rubber Consortium Limited (IRCo) pada 28 April 2004,” katanya mengulas cadangan menggunakan getas asli tempatan bagi menurap jalan raya seperti dilaporkan akhbar ini.
Langkah itu juga boleh menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM500 juta setahun berbanding menggunakan getah terpakai yang diimport dari China dan India.
Sumber industri yang rapat dalam merencanakan dasar itu memberitahu, penggunaan sumber tempatan juga dapat merangsang industri pengeluaran getah yang mengalami penyusutan harga dengan permintaan 90,000 tan metrik setiap tahun.
Kameruzaman memberitahu, ketiga-tiga negara telah bersetuju untuk meningkatkan penggunaan domestik terutamanya pembinaan jalan berturap melibatkan 300,000 metrik tan getah asli bagi tempoh lima hingga 10 tahun.
Katanya, kajian yang dilakukan oleh agensi berkaitan membuktikan jalan raya yang menggunakan getah asli lebih berkualiti dan mempunyai daya tahan lebih lama dari segi jangka hayat.
“Pada masa sama, kerajaan akan mendapat penjimatan dari segi kos penyelenggaraan manakala pengguna jalan raya pula dapat memandu dalam keadaan yang lebih selamat.
“Jika kerajaan melaksanakan keputusan bersama yang dicapai bersama Indonesia dan Thailand itu, pastinya, keadaan harga getah tempatan adalah lebih baik dan stabil serta menguntungkan masyarakat pekebun-pekebun getah,” ujarnya.
Kameruzaman berkata, sekiranya kejatuhan harga getah tidak ditangani dengan serius oleh kerajaan, industri getah negara akan semakin malap dan keadaan itu pastinya akan memberi kesan buruk kepada pekebun getah. – UTUSAN









