Gempa bumi: Balu diduga bertimpa-timpa

Gempa bumi: Balu diduga bertimpa-timpa

Ibtisam Alassi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZIANTEP, Turkiye: Berdepan detik cemas ketika berlakunya gempa bumi seorang diri tanpa suami disisi selepas terkorban dalam peperangan di Syria bukan perkara mudah.

Apatah lagi dia tinggal sehelai sepinggang tanpa pekerjaan selepas turut kehilangan perniagaan dan diberhentikan kerja beberapa bulan sebelum kejadian gempa bumi.

Seorang balu, Ibtisam Alassi, 43, yang juga pelarian Syria berkata, dia yang berhijrah ke Turkiye sebelum ini tidak menyangka akan berdepan dugaan bertimpa-timpa.

“Apa yang terjadi pada saya ibarat jatuh ditimpa tangga. Satu persatu saya diuji. Selepas suami terkorban dan perniagaan permaidani di Syria saya musnah, saya mengambil keputusan lari ke Turkiye.

“Saya bekerja di sebuah syarikat di sini dan akhirnya diberhentikan selepas mereka membuat keputusan berpindah ke Istanbul. Selepas beberapa bulan diberhentikan, berlaku pula kejadian gempa bumi. Sesungguhnya ini dugaan mencabar pada diri saya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.

Kejadian gempa bumi bermagnitud 7.8 yang berlaku 6 Februari lalu mengorbankan lebih 40,000 mangsa dengan melibatkan 11 wilayah antaranya Hatay, Adiyaman, Diyabakir, Kilis dan Elazig.

Beberapa negara di rantau ini termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat yang melanda Turkiye dalam tempoh 10 jam.

Dalam pada itu, Ibtisam berkata, dia kini masih tercari-cari apa yang harus dilakukan untuk meneruskan kehidupan walaupun selepas dua minggu kejadian gempa bumi berlalu.

Malah, dia kini masih tidak tahu apa yang mahu dilakukan selepas ini bagi meneruskan kehidupan dengan apa yang terjadi pada dirinya.

“Saya kini terpaksa tinggal di dalam khemah sementara selepas terpaksa berpindah kerana kediaman saya tidak selamat diduduki.

“Pihak berkuasa akan merobohkan dan mereka mahu membina yang baharu. Masalahnya apa yang saya mahu lakukan selepas ini untuk meneruskan sisa kehidupan?” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN