Gegaran 7 skala magnitud jiran boleh beri kesan kepada Malaysia

Gegaran 7 skala magnitud jiran boleh beri kesan kepada Malaysia

MALAYSIA berisiko alami gegaran jika gempa bumi pada skala 7 magnitud berlaku di Indonesia atau Filipina. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 21 bangunan pencakar langit di seluruh negara termasuk 20 di Lembah Klang berisiko terdedah kepada keretakan dan kerosakan jika gegaran kuat akibat gempa bumi berskala lebih tujuh skala magnitud melanda negara jiran, Indonesia dan Fi­lipina.

Bangunan berketinggian di antara 202 meter hingga 682 meter itu boleh mengalami kemusnahan meskipun berlaku gegaran berukuran 5.0 magnitud kerana ketika berlaku gempa bumi di Ranau, Sabah pada 2015 bermagnitud 6.0 pada skala Ritcher, banyak bangunan retak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelidik Gempa Bumi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Rozaina Ismail berkata, bangunan lama yang dibina tanpa mengambil kira piawaian reka bentuk gempa berkemungkinan berdepan risiko mengalami kerosakan teruk jika berlaku gempa bumi walaupun Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik.

Beliau menambah, meskipun Malaysia telah menggunakan piawaian reka bentuk gempa bagi bangunan-bangunan kerajaan sejak 2017, namun pelaksanaannya tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Pada enam tahun lalu, kerajaan telah menghasilkan piawaian reka bentuk bangunan untuk menahan gempa bumi yang mana saya juga terlibat sebagai penyelidik bersama-sama pelbagai institusi dalam penyediaan piawaian reka bentuk tersebut iaitu Malaysia National Annex To Eurocode 8: Design Of Structures For Earthquake Resistance.

“Walaupun Malaysia telah menggunakan piawaian reka bentuk gempa bagi bangunan, namun pelaksanaannya tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Justeru pihak berkuasa tempatan negara diminta perlu terus memastikan piawaian reka bentuk gempa ini dapat dilaksanakan ke atas semua bangunan di dalam kawasan mereka tidak terkecuali bangunan milik syarikat swasta,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk ahli akademik melihat sudah tiba masanya semua bangunan tinggi di Malaysia termasuk kondominium diwajibkan memasang sistem kalis gegaran memandangkan negara terdedah kepada gempa bumi pada bila-bila masa yang berpunca dari negara-negara jiran.

Langkah itu mengambil iktibar gempa bumi yang berlaku di Turkiye berukuran 7.5 dan 7.8 magnitud pada minggu lalu dengan jumlah mangsa terkorban melebihi 40,000 orang.

Dalam pada itu, Rozaina menambah, semua pihak termasuk pihak berkuasa perlu menyediakan fasiliti yang selamat untuk masyarakat negara ini dengan jurutera terlibat perlulah celik gempa bagi memastikan struktur yang dibina mempunyai daya tahan terhadap bencana itu.

Sehubungan itu, pihaknya bersama pasukan penyelidik gempa bumi pelbagai institusi pengajian tinggi diketuai pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azlan Adnan kini terlibat dalam proses menghasilkan piawaian reka bentuk untuk jambatan bagi menahan gegaran gempa bumi dan projek itu dibiayai Jabatan Standard.

“Kita perlu mengambil iktibar kejadian gempa pada 25 Februari 2022 apabila gempa bumi magnitud 6.2 pada skala Ritcher di Sumatera, Indonesia yang mana gegarannya dirasai di bahagian barat Semenenjung terutama Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Malah daripada aspek reka bentuk, ketinggian bangunan juga akan mempengaruhi fre­kuensi bangunan dan kesan resonans apabila berlakunya gempa bumi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairul Amri Kamarudin memberitahu, Malaysia kini tidak imun daripada sebarang bencana termasuk gempa bumi ekoran perubahan iklim yang menyaksikan keadaan bumi tidak sama seperti 100 tahun lepas.

Ujarnya, sejak kebelakangan ini Malaysia menerima kesan bencana alam walaupun di luar Lingkaran Api Pasifik yang berpunca negara jiran di samping kedudukannya di tengah-tengah lautan yang mudah dibadai tsunami sekiranya berlaku gempa bumi di bawah dasar laut.

Justeru itu, Malaysia khususnya rakyat sendiri tidak boleh mengambil mudah terhadap sebarang bencana alam dari luar kerana kejadian itu boleh menimpa negara ini tidak disangka.

“Selain memperbanyakkan kajian, kita perlu belajar dari Jepun bagaimana mereka mendidik dan menguruskan bencana alam ketika berlaku gempa bumi. Keadaan dunia sudah berubah, jika dahulu musim tengkujuh pada hujung tahun tetapi sekarang terjadi tidak disangka sekali gus menyedarkan kita bahawa perlu bersedia pada bila-bila masa sahaja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×