Enam pihak dipanggil SPRM bantu siasatan kes curi REE

Enam pihak dipanggil SPRM bantu siasatan kes curi REE

SHAHAROM Nizam Abd. Manap (kiri) pada hari terakhir perkhidmatannya sebelum bersara sebagai Pengarah SPRM Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil sekurang-kurangnya enam pihak untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri ini. 

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, pihaknya pada masa sama turut mengesyaki pihak tertentu yang mencuri mineral berharga tersebut. 

Namun kata beliau, agak sukar untuk mana-mana pihak dipersalahkan kerana kes berkenaan setakat ini dilihat lebih kepada aspek kecurian, berbanding salah urus tadbir dalam kerajaan negeri. 

“Setakat ini belum ada sesiapa yang secara sukarela nak jelaskan apa yang berlaku berkaitan kecurian ini. Kami masih menjalankan siasatan dan belum sampai ke tahap membuat kesimpulan. 

“Siasatan masih belum siap kerana kita masih belum tahu keseluruhan perkara yang berlaku tetapi siasatan akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis persaraannya di Pejabat SPRM Kedah di sini, hari ini.

Shaharom Nizam bersara setelah lebih 30 tahun berkhidmat dengan SPRM. Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi termasuk Op Water di Sabah.

Ditanya ada pihak membidas SPRM kerana tidak memaklumkan hasil siasatan selama ini, kata beliau, mereka tidak boleh sewenang-wenang mendedahkan kepada umum kerana terikat dengan undang-undang serta akta yang menghalang mereka berbuat demikian. 

“Mengikut undang-undang, kami hanya boleh maklumkan hasil siasatan kepada pihak pendakwaan dan tak boleh dedahkan kepada umum hingga kes tersebut dibawa ke mahkamah.

“Tetapi itu bukan bermakna kami berdiam diri kerana siasatan tetap dilakukan. Memang tak ada orang yang akan tahu gerakan kami dalam menjalankan siasatan, jadi kami dianggap cuba sembunyikan sesuatu sedangkan dakwaan itu tidak betul,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM membentuk Jawatankuasa Pemantauan REE Negeri Kedah di bawah Pasukan Integriti dan Anti Korupsi (Incort) bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah berhubung isu berkenaan. 

“Jawatankuasa ini bukan untuk siasat hal tersebut sebaliknya bertujuan meneliti kekurangan mana-mana bahagian atau prosedur berkaitan REE. Contohnya jika ada agensi tidak sedar peranan yang sepatutnya dimainkan mereka, maka mereka perlu pastikan tindakan diambil bersandarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

“Kalau tak ada SOP, kita akan cadangkan supaya SOP berkaitan boleh diwujudkan. Antara agensi terlibat adalah Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Alam Sekitar, Syarikat Air Darul Aman dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah,” katanya. 

Dalam perkembangan berasingan, SPRM tidak menemukan sebarang unsur jenayah terhadap dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah, sebelum ini.

Shaharom Nizam berkata, kes itu lebih kepada soal pematuhan prosedur berkaitan penyampaian dana bantuan tersebut dan SPRM sudah mencadangkan kerajaan negeri untuk melakukan penambahbaikan. 

Pada Jun lalu, akhbar ini melaporkan mengenai siasatan dijalankan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.