Belanjawan 2023: Elaun guru KAFA naik RM100 - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023: Elaun guru KAFA naik RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini dalam Belanjawan 2023 mengumumkan kenaikan elaun bagi 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

Di bawah peruntukan syiar Islam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu turut melibatkan antara petugas masjid.

“Kerajaan akan menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

“Kerajaan juga memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.

“Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih RM40 juta,” kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Selain itu, Anwar turut mengulangi prinsipnya untuk terus memartabatkan al-Quran selepas insiden pembakaran al-Quran di Sweden bulan lalu dengan menyalurkan RM10 juta untuk cetakan kitab suci itu.

“Saya telah umumkan bahawa kita akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.

“Untuk tujuan ini, RM10 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN