Dana Pakej Daya Tahan Selangor hasil penjimatan perbelanjaan negeri

Sidang Khas DUN: Dana Pakej Daya Tahan Selangor hasil penjimatan perbelanjaan negeri

Pakej Daya Tahan Selangor
AMIRUDIN Shari menggulung perbahasan Pakej Daya Tahan Selangor 2026 pada Sidang Khas DUN Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbelanjaan berjumlah RM355.06 juta dalam Pakej Daya Tahan Selangor 2026 diperoleh daripada langkah penjimatan yang disasarkan dalam perbelanjaan kerajaan negeri bagi tahun ini sebanyak RM3.23 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejak langkah penjimatan dilakukan selaras pekeliling dikeluarkan oleh Pegawai Kewangan Negeri adalah sebanyak RM230 juta.

Antara langkah penjimatan dan penyusunan semula dilakukan termasuklah menangguhkan sebarang seperti lawatan ke luar negara dan program-program kerajaan negeri yang lain.

Katanya, selain itu pakej tersebut turut ditampung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti rebat cukai taksiran, sumbangan kepada program sarapan pagi murid sekolah serta pengurangan bayaran sewa gerai dan ruang niaga.

“Sumber kewangannya daripada penyusunan semula langkah-langkah yang kita tetapkan iaitu sasaran penjimatan melalui siling 95 peratus bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan 90 peratus.

“Dengan dua langkah tersebut, kerajaan negeri bukan hanya dapat menyimpan RM230 juta daripada keseluruhan perbelanjaan kita, RM3 bilion. Kita sudah belanjakan RM140 juta, untuk sesi kedua kita belanjakan RM200 juta lagi,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Pakej Daya Tahan Selangor 2026 pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pakej tersebut bukan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) yang memerlukan kelulusan DUN Selangor, sebaliknya ia dibentangkan bagi mendapatkan pandangan daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jumaat lalu, Amirudin membentangkan pakej rangsangan itu yang bernilai RM355.06 juta meliputi dua fasa masing-masing berjumlah RM145.8 juta dan RM209.26 juta.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu langkah penjimatan tersebut adalah disasarkan seperti mana disebut dalam penggulungannya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada November tahun lalu.

“Dalam fiskal negeri, kita tidak akan terkeluar daripada peruntukan yang diluluskan. Peruntukan yang diluluskan adalah RM3 bilion, RM2.8 bilion pula adalah (sasaran) hasil.

“Tetapi, daripada proses tersebut dalam mana-mana pentadbiran kerajaan negeri, akan berlaku penyaluran kembali peruntukan-peruntukan tersebut, langkah itu saya maklumkan di peringkat awal bahawa kita lakukan penjimatan,” ujarnya.

November tahun lalu, Amirudin membentangkan RUU Perbekalan (Belanjawan) bagi tahun ini berjumlah RM3.23 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.86 bilion dan pembangunan RM1.37 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN