PETALING JAYA: Dua lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama lebih 3 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai hampir RM26,000 dalam serbuan dekat sebuah premis di Jalan Maarof dekat sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 6.55 petang, hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat dua lelaki tempatan berada dalam premis berkenaan.
Katanya, pemeriksaan di premis terbabit menemukan dadah jenis ganja seberat 3.3 kg dianggarkan bernilai RM25,950 selain merampas wang tunai RM120.
“Hasil ujian saringan awal urin, didapati kedua-dua suspek positif dadah jenis kanabis (THC).
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 6,738 pengguna bahan terlarang itu.
“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket ini serta sumber bekalan dadah diperoleh,” katanya.
Dalam ada itu, Amihizam memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkait rampasan dadah ini untuk tampil menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.- UTUSAN










