Dua maut, dua parah kereta terbabas rempuh pembahagi jalan, tiang lampu  - Utusan Malaysia

Dua maut, dua parah kereta terbabas rempuh pembahagi jalan, tiang lampu 

KEADAAN kereta Honda Civic dinaiki mangsa yang remuk setelah terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta tiang lampu di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Jambu Bongkok, Marang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Dua maut manakala dua lagi parah setelah kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Jambu Bongkok di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa yang meninggal ialah penumpang hadapan, Muhammad Rafizan Rozlan, 23, dan penumpang belakang kiri, Nursyazwani Shamsudin Satin, 17. 

Kedua-dua mangsa itu maut di tempat kejadian setelah parah di kepala manakala dua mangsa mengalami kecederaan iaitu pemandu, Muhammad Sahrul Shamsudin Satin, 24, serta penumpang belakang kanan, Muhammad Suhaimi Rozlan, 18.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berlaku setelah kereta jenis Honda Civic dipandu dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan tersebut terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan dan sebatang tiang lampu di tempat kejadian. 

“Penumpang hadapan yang bekerja di sektor minyak dan gas serta penumpang belakang iaitu seorang pelajar beralamat di Kampung Limbong, Paka, Dungun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,”  katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, petang ini. 

Mohd. Zain memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya. 

Sementara itu, tambahnya, dua mangsa yang cedera parah itu juga dikejarkan ke hospital sama bagi dapatkan rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya