DAP Melaka, NGO bantah projek baharu tambakan laut

DAP Melaka, NGO bantah projek baharu tambakan laut

KHOO Poay Tiong (depan, tengah) bersama wakil NGO dan penduduk menunjukkan surat bantahan laporan EIA yang dihantar ke Pejabat JAS di Menara Persekutuan di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: DAP negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil penduduk menyerahkan surat bantahan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), cadangan projek tambakan laut seluas 1,190 ekar bagi pembangunan pelabuhan laut dalam dan terminal pelayaran antarabangsa.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pihaknya menyenaraikan 16 sebab mengapa laporan EIA itu tidak seharusnya diluluskan, antaranya melibatkan isu alam sekitar, keperluan pelabuhan baharu, dua terminal pelayaran berhampiran dan impak terhadap aliran trafik di Melaka.

Jelasnya, projek sebesar 889 padang bola sepak itu dibimbangi akan menjejaskan 230,000 penduduk berhampiran bermula dari Perkampungan Portugis, Ujong Pasir dan Serkam.

“Sekurang-kurangnya 15 perkampungan nelayan terkesan dengan projek ini dan akan menjejaskan pendapatan 500 nelayan. Dahulu, projek Melaka Gateway dikatakan akan mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan, tetapi sampai hari ini projek tersebut masih belum siap.

“Malah, projek itu hanya merosakkan alam sekitar dan menjejaskan pendapatan nelayan. Pada masa sama, Pulau Besar yang akan digazetkan sebagai taman laut turut terkena tempias kerana kedudukannya yang berdekatan dengan tapak projek.

“Selain itu, pembinaan pelabuhan laut dalam bertaraf antarabangsa menjadi tanda tanya kerana Melaka sudah memiliki dua pelabuhan iaitu Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP). Adakah pelabuhan baharu ini mampu menjana permintaan yang secukupnya bagi tujuan kelangsungan?,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi penyerahan surat bantahan kepada JAS di Menara Persekutuan, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata, pembinaan terminal pelayaran dalam projek tambakan laut baharu itu menimbulkan keraguan memandangkan terdapat perancangan sebelum ini untuk membina terminal sama di bawah projek Melaka Gateway.

Menurutnya, laporan EIA tidak menjelaskan sama ada projek terminal itu adalah projek tambahan baharu atau untuk menggantikan terminal di Melaka Gateway.

“Aliran trafik juga akan bertambah sesak apabila jumlah kenderaan dijangka meningkat sehingga enam kali ganda apabila pelabuhan laut dalam siap kelak. Cadangan laluan utama ke pelabuhan itu tidak sesuai kerana melalui Crystal Bay dan di kawasan perumahan.

“Saya menyeru kepada kerajaan negeri agar menangguhkan dahulu perancangan pembangunan agar kajian lebih terperinci dapat dilakukan bagi mencari formula terbaik untuk pembangunan Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.