Rumah tempat membesar musnah, sempat selamatkan 10 kucing peliharaan

Rumah tempat membesar musnah, sempat selamatkan 10 kucing peliharaan

SHARIFAH Saadah Sh Sabdan sempat menyelamatkan 20 ekor kucingnya dalam kebakaran yang memusnahkan 1,000 rumah di Kampng Bahagia, Batu Sapi, Sandakan kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: “Mahu sedih pun tiada guna sebab semua orang pun kehilangan rumah.”

Itu luahan Sharifah Saadah Sh Sabdan, 33, seorang daripada kira-kira 8,000 mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, dekat sini, yang memusnahkan 1,000 rumah, awal pagi kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, dia pada mulanya menerima panggilan daripada kakaknya dan meminta menghubungi pihak bomba selepas dimaklumkan kampung mereka terbakar.

Ketika kejadian, dia yang berada di rumah mentua menyangka kebakaran berkenaan jauh dari kediamannya sehinggalah salah seorang rakan memaklumkan kebakaran itu sudah menghampiri kawasan rumahnya.

“Kami terus capai apa yang patut (perlu). Apabila saya tengok api makin dekat, selang dua rumah sahaja, terus saya menggigil satu badan.

“Apabila tengok api makin dekat, saya cakap dengan suami bahawa rumah kami sudah tidak selamat lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sharifah berkata, dia reda dengan ketentuan itu walaupun sukar menerima hakikat rumah tempat mereka membesar kini sudah musnah terbakar.

Dia turut mengimbau kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2004 namun ketika kejadian rumahnya terselamat dalam kebakaran itu.

“Tidak apa, saya reda. Walau saya berharap kali ini rumah kami selamat seperti tahun 2004, tetapi bukan rezeki kami. Saya percaya Allah akan ganti dengan yang lebih baik. Saya macam bermimpi. Rumah tempat kami membesar sudah tiada,” katanya.

Sharifah sekeluarga turut berdepan detik mencemaskan apabila perlu menyelamatkan 20 ekor kucing peliharaan ketika api sedang marak.

“Hanya 10 ekor sempat dimasukkan ke dalam bakul manakala selebihnya terpaksa dilepaskan di tempat selamat kerana keadaan terlalu panik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Sharif Hashim, 61, berkata, kejadian didakwa berlaku akibat kecuaian ketika sedang memasak.

“Saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah seorang penduduk yang sedang memasak selepas itu meninggalkan dapur.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN