Dadah: Kedah catat kes tertinggi 2021 - Utusan Malaysia

Dadah: Kedah catat kes tertinggi 2021

Dadah Kedah
MOHAMAD Sade Mohamad Amin (tengah) ditemui pemberita dalam sidang akhbar ketika menghadiri Program Jerayawara Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 dekat Pantai Morib, Banting, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kedah dilapor mencatatkan kes penagihan dadah tertinggi bagi tahun 2021 apabila sebanyak 13,502 kes iaitu 11 peratus daripada 123,139 kes di seluruh negara, memintas Johor yang pernah merekod jumlah tertinggi pada 2020, 16,138.

Kes di negeri jelapang padi itu, turut mencatatkan peningkatan sebanyak 28.4 peratus atau 2,958 kes berbanding 2020 sementara Johor pula mencatatkan penurunan sebanyak 17.8 peratus.

Kedudukan tersebut diikuti dengan Selangor yang merekodkan sebanyak 12,182 kes iaitu peningkatan sebanyak 1,227 kes atau 11.2 peratus sementara Kelantan dan Terengganu pula menduduki tangga keempat dan kelima dengan catatan masing-masing sebanyak 12,033 dan 11.843.

Daripada laporan seluruh negara, selain Kedah dan Selangor, tiga lagi negeri turut menunjukkan peningkatan jumlah penagih dadah iaitu Pulau Pinang (8,185 kes), Melaka (5,246 kes) dan Perlis (1,868 kes).

Bagaimanapun, daripada kes di seluruh negara, penurunan dicatatkan pada 2021 iaitu 5,186 kes atau empat peratus berbanding 2020 yang merekodkan 128,325 kes.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Mohamad Sade Mohamad Amin, penggunaan dadah jenis sintetik seperti syabu kini dilihat semakin meningkat berbanding dadah jenis organik.

“Walaupun mencatatkan penurunan, namun penyalahgunaan dadah sintetik atau jenis rangsangan amfetamin (ATS) seperti syabu, ice, batu, pil kuda, yaba, yama dan bom atau esctacy masih tinggi iaitu 91,684 kes pada 2019, 83,698 kes (2020) dan 79,816 kes (2021).

“Kemudian diikuti dadah jenis Opiat seperti heroin, morfin dan kodein dengan jumlah kes sebanyak 43,578 kes pada 2019, 39,599 kes (2020) dan 39,100 kes (2021),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menerusi laporan sama, laporan berdasarkan peringkat umur menunjukkan ramai penagih dadah datang daripada kumpulan belia yang berusia 19 hingga 39 tahun iaitu 81,112 kes dilaporkan pada 2021, sementara 39,959 penagih merupakan golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas.

Turut tidak terkecuali adalah remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun apabila AADK mengenal pasti 1,951 penagih berada dalam kumpulan itu dan dua kes daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Malah, berdasarkan latar belakang pekerjaan penagih, sektor awam menunjukkan peningkatan kes sebanyak 1,146 kes pada 2021 berbanding 724 pada 2020. Bahkan, laporan sama turut menunjukkan sohor (trend) peningkatan sejak 2019 yang merekodkan cuma 468 kes.

Namun, sektor swasta kekal paling ramai penagih apabila sebanyak 31,670 kes pada 2021.

Dalam pada itu, Mohamad Sade turut mendedahkan penagihan dadah berlaku dalam kalangan pengguna vape apabila peranti itu menjadi salah satu kaedahnya kerana mempunyai alat pemanas.

“Penyalahgunaan dadah ini boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Antara salah satu kaedah adalah menggunakan vape. Vape adalah satu alat pemanas, yang memanas bahan-bahan kimia seperti syabu. Kita amat prihatin dan mengemukakan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebab itu bila mereka masuk ke pusat pemulihan, kita temubual cara mereka mengambil dadah dan menyebabkan ketagihan adalah menggunakan vape dan bermula dengan rokok,” jelasnya.

Beliau menambah, bagaimanapun AADK masih belum mempunyai kajian berkenaan dadah penggunaan vape dan mengajukan masalah tersebut kepada KKM untuk menjalankan kajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya