KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini membantah permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan kebenaran memfailkan tuntutan balas terhadap agensi terbabit berhubung tuntutan tunggakan cukai RM9.41 juta.
Ketika berhujah, Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN menyatakan tuntutan balas tidak boleh difailkan terhadap kerajaan bagi tindakan pemungutan cukai sebagaimana yang dinyatakan dalam Aturan 73 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Subseksyen 42(2)(e)(i) Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Perkara itu dimaklumkan sewaktu pendengaran bantahan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain. Mahkamah kemudian menetapkan 13 April ini untuk keputusan.
Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Muhammad Shafee ketika dihubungi mengesahkan tarikh keputusan itu.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk mengemukakan tuntutan balas terhadap LHDN pada Mei 2021 atas alasan tuntutan cukai tersebut merupakan satu serangan terhadapnya sebagai mangsa politik selaku peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee pada 6 Mei 2021 dengan menamakan beliau sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.
Berdasarkan dokumen diperoleh media, peguam berkenaan mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran RM621,291.85 (2011), RM978,854.11 (2012), RM3,581,500.000 (2013), RM1,735,124.03 (2014) dan RM1,826,557.87 (2016).
Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.
Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 13 September 2018, peguam terbbait didakwa atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, pada 28 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada kesemua pertuduhan itu. – UTUSAN