PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan membawa ke Kabinet cadangan agar getah beku (cup lump) yang dicampur bitumen atau dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) bagi kegunaan menurap jalan raya di seluruh negara.
Sumber industri yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, dalam satu mesyuarat khas dihadiri pihaknya bersama KPK kelmarin, kementerian tersebut mengambil cakna isu penggunaan.
“Penggunaan CMB sebenarnya sudah ada persetujuan di antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2021. Cuma pelaksanaan saja yang tidak dibuat.
“Saya baru selesai menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan tertinggi KPK yang mempengerusikan mesyuarat itu. Kami bangkitkan isu yang diutarakan Utusan Malaysia tentang penggunaan CMB untuk turap jalan raya. Kementerian bersetuju membawanya ke Kabinet.
“Kementerian juga akan mengadakan retreat, di dalamnya mereka akan memasukkan isu ini sebagai salah satu perkara yang akan diketengahkan. Jadi, kena tunggu Ketua Pengarah satu agensi berkaitan menyiapkan laporan tentang CMB dulu,” kata sumber.
Semalam, akhbar ini melaporkan terdapat usaha dilakukan segelintir pelobi luar negara serta pihak berkepentingan dalam negara, yang cuba menggagalkan usaha kerajaan mengoptimumkan penggunaan CMB.
Sumber agensi yang ditemui Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, usaha untuk mengetengahkan sumber getah asli ke dalam pasaran berdepan kesukaran disebabkan campur tangan ‘permainan’ orang tengah dan pelobi asing dari China dan India yang dikatakan memonopoli industri sisa tayar terpakai (crumb rubber) yang selama ini digunakan sebagai bahan turapan jalan raya.
Dalam pada itu, Ketua Biro Penerangan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Amran Jaafar yang dihubungi berkata, pihaknya menyambut baik hasrat supaya getah beku tempatan digunakan sebagai bahan turapan jalan raya bagi menggantikan sisa tayar terpakai yang kualitinya jauh lebih rendah.
Pada masa sama, beliau berkata, PKPKM mencadangkan kerajaan menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara bagi tujuan penurapan jalan raya untuk membantu memperkasakan industri tersebut, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
“Maknanya, lebih kurang 35,000 tan metrik getah beku tempatan setahun akan digunakan untuk teknologi CMB. Dengan jumlah penggunaan getah sebanyak itu, ia disasarkan untuk digunakan bagi kerja penurapan jalan raya sepanjang kira-kira 8,700 kilometer,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media dikeluarkan semalam, Timbalan Presiden PKPKM, Adzmi Hassan berkata, kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan pekebun kecil untuk menghasilkan lateks dan getah beku berikutan pihak industri setuju untuk meningkatkan penggunaan getah tempatan.
“Ladang pekebun kecil getah yang tidak bertoreh ini perlu dikenalpasti dan dikelompokkan, kemudian boleh diambil alih oleh institusi perladangan untuk memudahkan ia diuruskan dengan lebih teratur.
“Ini akan menjamin kemapanan sektor getah dan memastikan permintaan getah dalam negara sentiasa dapat dipenuhi. Hasil pengeluaran getah tersebut juga dapat digunakan untuk sektor lain antaranya pembinaan jalan getah,” ujar beliau. – UTUSAN










