Bunuh: Warden pusat pemulihan dadah menangis dalam mahkamah - Utusan Malaysia

Bunuh: Warden pusat pemulihan dadah menangis dalam mahkamah

SUFFIAN Effendy Kadri (depan) dan Nur Aslam Faizal (belakang) didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas tuduhan membunuh pelatih pusat pemulihan dadah di Perlop. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang warden di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Perlop gagal menahan sebak dan menangis teresak-esak ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penghuni pusat itu, Selasa lalu.

Nur Aslam Faizal, 35, yang duduk di kandang tertuduh itu dilihat menangis sambil memeluk ahli keluarganya sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa bersama pelatih pusat itu, Suffian Effendy Kadri, 30, melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Mohd. Ali Mohd. Nor, 50, di PUSPEN Perlop, Sungai Siput (U), pada pukul 10.30 pagi, 31 Januari 2023.

Kedua-dua tertuduh mengangguk dan mengaku faham pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Asyifa.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary dengan Nur Aslam diwakili peguam Keshvinder Singh manakala Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan Keshvinder telah memohon mahkamah membenarkan Nur Aslam bertemu ahli keluarganya yang turut hadir dan permohonan itu dibenarkan oleh Nurul Asyifa.

Pertemuan dalam kamar mahkamah yang berlangsung kira-kira lima minit itu diselubungi suasana hiba dengan Suffian Effendy dilihat hanya tunduk dan mendiamkan diri.

Majistret Nurul Asyifa menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan forensik dan hasil bedah siasat.

Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, seorang pelatih PUSPEN maut dengan kesan kecederaan di bahagian belakang badan dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Berikutan itu, tiga kakitangan pusat pemulihan berkenaan dan seorang pelatih berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya