Bunuh suami: Isteri, kekasih berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Bunuh suami: Isteri, kekasih berdepan hukuman mati

Hukuman mati
VARUN Kumar (depan) dan Lechhami Devi (belakang) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dekat Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasangan kekasih warganegara India berdepan hukuman mati selepas dituduh di Mahkamah Majistret atas dakwaan membunuh seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan suami salah seorang suspek pada 2021.

Tiada pengakuan direkodkan, namun suspek Varun Kumar dan Lechhami Devi mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan, Varun, 30 bersama rakan dipercayai teman wanitanya berusia 23 tahun itu didakwa membunuh Arshdeep Singh yang juga merupakan warga India pada 31 Oktober 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan kejam itu pada pukul 1.30 pagi dekat Rumah Kebajikan Orang Tua Metro Eldercare di Subang Jaya.

Oleh demikian, kedua-dua suspek dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 14 April ini untuk pengurusan dan lantikan jurubahasa Punjabi sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian. Bagaimanapun hanya Varun diwakili peguam, Dr. Pritham Singh Doal.

Pada 4 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menemukan mayat seorang lelaki dengan kesan kelar ditanam di lereng bukit dekat belakang sebuah banglo yang yang menjadi pusat penjagaan orang tua di Subang Jaya.

Mayat tersebut ditemukan selepas rakan suspek membuat aduan pada 2 Februari memaklumkan suspek mengaku membunuh suami kekasihnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan, kehilangan mangsa dikesan berlaku sejak Mei tahun lalu apabila Suruhanjaya Tinggi India membuat laporan selepas ahli keluarga mangsa mendakwa mangsa gagal dihubungi. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.