Bung Moktar, Zizie bela diri tuduhan rasuah 15 Jun

Bung Moktar, Zizie bela diri tuduhan rasuah 15 Jun

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterangan bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra, akan didengar oleh Mahkamah Sesyen di sini bermula 15 Jun ini.

Meskipun pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan, Hakim Rozina Ayob `menyekat’ dahulu tarikh-tarikh perbicaraan kerana kes itu yang didaftarkan pada 2019, diklasifikasikan sebagai kes lama.

Di Mahkamah Rayuan, Bung Moktar dan isteri merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan.

“Kes ini lama, tahun 2019, kita tidak mahu kes ini terabai. Jadi saya terpaksa `block’ tarikh-tarikh perbicaraan bagi mengelakkan diari mahkamah penuh,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menetapkan keterangan Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya didengar selama 13 hari pada Jun dan Julai ini. Tarikh-tarikh pada bulan Jun ialah 15, 16, 26 dan 27 manakala bulan Julai pula pada 10 hingga 14 manakala tarikh lain pada 20, 21, 24 dan 25 Julai.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan rayuan kedua-duanya di Mahkamah Rayuan. Rozina menetapkan satu lagi sebutan pada 27 Mac ini.

Terdahulu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memaklumkan setakat ini Mahkamah Rayuan belum ditetapkan tarikh pendengaran rayuan pasangan itu.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan masih menunggu rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi.

Athimulan turut memaklumkan, pihak pembelaan akan mengemukakan keterangan enam saksi termasuk Bung dan Zizie Izette dan masih menimbang sama ada untuk menyediakan pernyataan bertulis ketika perbicaraan kelak.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd. Radzuan mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Teh See Khoon mewakili Zizie Izette. Pada 3 Januari lalu, mereka sepatutnya mula membela diri terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad, namun dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk menggantung perbicaraan.

Pesuruhjaya Kehakiman (kini Hakim) Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan kedua-duanya sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 63, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya