Budak tiga tahun derita sakit buah pinggang - Utusan Malaysia

Budak tiga tahun derita sakit buah pinggang

KEADAAN Muhammad Aqil Muhammad Jeffri yang terlantar sakit ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pida 8, Ayer Hitam di Jerlun, Kubang Pasu. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menderita sakit buah pinggang tahap tiga yang menjadikan dia hanya mampu terlantar selain memerlukan pemerhatian 24 jam kerana sering diserang sawan.

Muhammad Aqil Sudais Muhammad Jeffri yang didiagnosis penyakit itu sejak berusia dua minggu kini hanya mampu minum susu khas melalui tiub di saluran pernafasannya, malah perlu menjalani rawatan susulan berkala setiap bulan di hospital.

Menurut ibunya, Nurul Ain Jawahir, 29, buah pinggang kiri anak bongsunya itu rosak sepenuhnya sejak setahun lepas, sementara di sebelah kanan hanya kira-kira 74 peratus berfungsi.

“Aqil lahir normal tetapi waktu usia dua minggu kami tahu dia ada sakit buah pinggang apabila tumbesarannya tidak seperti bayi lain. Doktor kata kalau sawan teruk kena bawa ke hospital untuk pastikan tidak melarat. Kadang-kadang pukul 3 pagi kena sawan kami bawa dia untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pida 8, Ayer Hitam di sini semalam.

Tambah suri rumah ini, anak kesayangan itu kini harus menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk memantau perkembangan penyakitnya.

“Selain buah pinggang, Aqil juga ada masalah lain seperti pendengaran dan penglihatan. Doktor baru mengesan penyakit sebenar Aqil yang jarang didapati ini dengan bantuan pakar Jepun. Pada 15 Februari ini kami akan tahu selain buah pinggang apa lagi penyakitnya,” katanya.

Menurut Nurul Ain, Muhammad Aqil yang mempunyai berat 13 kilogram itu perlu dipakaikan kasut khas untuk menguatkan kakinya kerana dia sering menghentak-hentakkan kaki ke lantai.

Wanita itu tidak menafikan keluarganya agak kesempitan ketika ini memandangkan suami, Muhammad Jeffri Marzuki, 33, tidak mempunyai pekerjaan untuk menanggung kehidupan mereka ekoran diberhentikan kerja di sebuah pasar raya akibat terlalu kerap mengambil cuti ketika anaknya sakit dan perlu ke Pulau Pinang.

“Setakat ini Aqil hanya dapat bantuan RM250 dari zakat dan RM200 JKM. Dia minum susu khas lapan tin sebulan yang berharga RM168 satu tin, itu belum lampin dan peralatan lain termasuk tiub makanannya,” katanya yang turut mempunyai anak perempuan, Cinta Nur Sumayyah, 8.

Di sebalik kesempitan dan dugaan itu, Nurul Ain turut melahirkan rasa kesal ekoran tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambar Muhammad Aqil untuk mengutip derma sedangkan kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima apa-apa sumbangan.

“Baru-baru ini oleh kerana tidak cukup wang untuk rawatan saya ada buat satu akaun untuk harap ihsan orang ramai. Tetapi ada yang guna gambar Aqil untuk kutip derma bagi tujuan lain. Aqil dikatakan terlantar sebab kemalangan.

“Apabila penipuan ini terdedah Aqil terima tempias kerana orang sudah tidak percaya lagi bahawa Aqil sakit. Sampai hati mereka buat macam itu,” luahnya yang menetap di rumah tersebut bersama ibunya, Basah Teh, 74.

Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Aqil boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun milik Nurul Ain, CIMB, 7070481567. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.