Boleh jel, tapi bukan akal, semangat perjuangan kami - Samar - Utusan Malaysia

Boleh jel, tapi bukan akal, semangat perjuangan kami – Samar

SAMAR SBEIH (dua dari kiri) dan Abeer Z Barakat (dua dari kanan) berkongsi pengalaman tentang kekejaman tentera Zionis pada Majlis Hi-Tea anjuran MyCare Johor di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: “Mereka boleh humban kami ke dalam penjara, namun bukan akal dan semangat kami. Janji Allah SWT itu benar, kemenangan akan berpihak pada mereka yang sabar.”

Demikian perkongsian aktivis Palestin, Samar Sbeih, 40, yang meringkuk dalam penjara Israel di Palestin selama tiga tahun ketika dia sedang hamil anak pertama semasa kandungannya berusia sebulan pada 2005.

Lebih memilukan apabila Samar melahirkan bayinya menerusi kaedah pembedahan dalam keadaan tangan dan kakinya dirantai sebelum dihumban semula ke penjara bawah tanah semata-mata kerana lantang memperjuang hak rakyat Palestin di universiti di Gaza ketika berusia 22 tahun.

“Sepanjang ditahan semasa hamil, saya tidak diberi makanan yang sepatutnya diterima seorang ibu untuk janin yang membesar, tidak diberi vitamin dan asid folik. Malah perkara paling asas pun tidak diberikan kepada saya dan tahanan yang lain. Makanan pun tidak diterima, seksaan itu bukan sahaja pada fizikal, malah mental.

“Keadaan yang dialami ini menyebabkan saya menerima gelaran ibu kepada tahanan paling muda kerana selepas melahirkan anak lelaki, anak kecil saya pada ketika itu turut dipenjara bersama-sama sehingga dibenarkan keluar pada 2005,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Hi-Tea dengan tema ‘What’s Behind the Caged Eyes’ anjuran MyCare Johor di sebuah hotel di sini yang turut dihadiri Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

Menyingkap kembali detik hitam tersebut, ibu kepada tiga anak itu berkata, tahanan penjara bawah tanah itu termasuk anaknya sulungnya, tidak melihat sinaran matahari mahupun tiupan angin.

Selepas dibebaskan, dia dan anaknya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan dunia luar serta memulihkan kembali kesihatan mental dan fizikal sebelum aktif meneruskan perjuangannya.

“Sepanjang tiga tahun berada di sebalik jeriji besi, anak saya tidak pernah bertemu dengan sesiapa dan dunia luar cukup asing buatnya. Oleh itu, kami mengambil sedikit masa untuk kembali kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, atas bantuan ahli keluarga dan rakan-rakan, saya kembali aktif dan menceritakan kisah kekejaman Israel supaya warga dunia tahu mengenainya. Kekejaman yang dilakukan tentera rejim Zionis terhadap rakyat Palestin ini terlalu banyak, tidak mungkin kami dapat jelaskan satu persatu dalam masa sehari sahaja,” katanya dalam Bahasa Arab yang diterjemahkan oleh sukarelawan MyCare Johor, Nurhanis Abdul Halim.

Seorang lagi aktivis Palestin, Abeer Z Barakat berkata, antara yang dihadapi wanita Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel ialah berkaitan psikologi.

“Kebanyakan mangsa wanita ini tidak mempunyai ruang untuk meluahkan dan hanya memendam perasaan sehingga mengundang pelbagai masalah lain. Jadi, kita cuba bantu mereka ini,” katanya.

Sejak konflik bermula pada 1948, dianggarkan kira-kira 115,000 rakyat Palestin terkorban berpunca daripada pembersihan etnik oleh tentera rejim Zionis dan setakat April tahun lalu, seramai 4,450 rakyat Palestin dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.

Daripada jumlah itu, 545 banduan menerima hukuman penjara sepanjang hayat manakala 499 individu lagi sudah lebih 20 tahun dikurung dan dipenjarakan tanpa kesalahan yang jelas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.