Beri peluang, ketengahkan muka baharu berkaliber di peringkat bahagian - Utusan Malaysia

Beri peluang, ketengahkan muka baharu berkaliber di peringkat bahagian

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Muka baharu yang lebih berkaliber bagi membantu mengembalikan semula sokongan khususnya dalam kalangan anak muda terhadap UMNO perlu diberi peluang dan diketengahkan di peringkat bahagian.

Pemilihan parti itu kali ini merupakan medan terbaik kepada UMNO mengenengahkan pemimpin yang mempunyai pemikiran dan idea baharu untuk menterjemahkan UMNO sebagai sebuah parti yang kembali kuat dan utuh.

Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pemilihan calon muda, berwibawa yang mempunyai pakej lengkap khususnya di peringkat bahagian berupaya mengubah parti itu ke arah lebih baik dalam mendepani suasana politik semasa yang lebih mencabar.

Katanya, di peringkat bahagian, UMNO memerlukan calon yang mempunyai ‘wow factor’ atau ikon di sesuatu kawasan terbabit bukannya hanya berpengaruh dalam kalangan orang-orang lama semata-mata.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang pemimpin lama atau berpengaruh yang masih diperlukan tidak menjadi masalah dikekalkan kerana masih konsisten dan relevan.

“Untuk melakukan perubahan tersebut bagi melihat UMNO kembali gah khususnya di mata anak muda ia memerlukan pengorbanan. Sebagai contoh di bahagian-bahagian yang masih kuat mengamalkan budaya ‘cah keting’ dengan mencantas pemimpin muda naik dalam bersama kepimpinan sedia ada.

“Beri ruang dan peluang kepada yang mempunyai kredibiliti, pakej lengkap khususnya calon muda yang mempunyai pendidikan, pengetahuan dan kebolehan dalam menaikkan sesuatu bahagian agar lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 11,369 calon telah mendaftarkan diri un­tuk bertanding pelbagai jawatan peringkat pusat dan 191 bahagian UMNO di seluruh negara menje­lang hari terakhir pendaftaran pe­milihan parti itu hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Azman berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengajar UMNO di mana anak muda khususnya masih menjauhi parti tersebut disebabkan masih kekurangan pelapis kepemimpinan di peringkat bahagian.

“Di peringkat pusat, saya melihat UMNO sudah ada perubahan yang baik namun di peringkat bahagian masih berada di takuk lama. Ia perlu diberikan perhatian serius agar PRU16, anak muda kembali menyokong UMNO,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya