Bekas isteri bukan Islam tidak layak terima nafkah secara automatik - Utusan Malaysia

Bekas isteri bukan Islam tidak layak terima nafkah secara automatik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bekas isteri bukan Islam tidak layak menerima nafkah secara automatik daripada bekas suami ekoran perubahan masa dan keadaan.

Hakim Evrol Mariette Peters berpendapat, kebanyakan wanita dahulu adalah suri rumah dan bergantung kewangan daripada suami yang merupakan pencari nafkah keluarga.

Bagaimanapun, generasi sedemikian telah berlalu sejak Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 berkuat kuasa dan peranan tersebut berkembang dari semasa ke semasa.

“Wanita kini tidak lagi hanya menguruskan hal rumah tangga berbanding dahulu. Justeru tiada hak automatik bagi seorang wanita untuk menuntut nafkah daripada suami,” kata beliau.

Hakim Evrol Mariette memutuskan demikian selepas menolak tuntutan nafkah seorang wanita terhadap bekas suami yang merupakan warganegara China (nama kedua-duanya dirahsiakan).

Alasan penghakiman beliau setebal 22 muka surat itu dikeluarkan pada 30 Januari lalu dan diperoleh pihak media hari ini.

Latar belakang kes seperti yang dinyatakan dalam penghakiman itu menyebut, mereka berkahwin pada Ogos 2007 dan mempunyai dua anak berusia 15 dan 12 tahun.

Bekas suaminya seorang penganalisis kewangan dan bekerja sambilan sebagai ejen hartanah, selain menjalankan perniagaan kecil berkaitan alat ganti kereta manakala bekas isteri merupakan juru ukur bahan.

Hakim Evrol Mariette turut berpendirian, perlu diingatkan bahawa peruntukan akta berkenaan digubal apabila wujud pemisahan yang jelas untuk membezakan di antara peranan suami dan isteri.

Jelas beliau, Seksyen 77(1) akta itu, yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1982 menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Namun katanya, mahkamah mempunyai budi bicara dan harus mengambil kira semua faktor berkaitan.

Menurut beliau, dalam hubungan itu, tiada peraturan yang tegas bahawa seorang lelaki mesti menanggung isteri atau bekas isterinya.

Hakim itu berpendapat, dalam kes tersebut bekas isterinya yang ketika itu bertugas sebagai juru ukur bahan, mampu menanggung dirinya.

“Pada pendapat saya, bekas isteri gagal memenuhi tahap ujian ‘keperluan’ yang mewajarkan bekas suami untuk memberikan nafkah,” kata beliau.

Pada September 2016, wanita itu mendapat perintah perlindungan sementara selepas mendakwa meninggalkan rumah sepencarian selepas menderita akibat didera bertahun-tahun oleh bekas suaminya.

Dalam keputusannya, hakim berkenaan turut memberikan hak jagaan dan penjagaan tunggal anak kepada wanita itu kerana kedua-dua mereka berada dalam jagaannya sejak 2016.

Beliau turut berpendapat, salah seorangnya yang merupakan seorang perempuan lebih memerlukan ibu lebih-lebih lagi untuk membincangkan isu-isu kewanitaan apabila meningkat dewasa, berbanding dengan bapa.

Hakim berkenaan turut menekankan bahawa bekas suaminya yang merupakan warganegara asing berisiko melarikan diri bersama anak-anakya jika diberikan hak jagaan tunggal.

Mahkamah turut memerintahkan bekas suaminya membayar nafkah bulanan sebanyak RM4,000 kepada anak-anak dan didepositkan ke dalam akaun bekas isteri pada 7 hari bulan, setiap bulan.

Beliau juga membenarkan akses kepada bekas suami bertemu anak-anak yang tertakluk atas beberapa syarat, termasuk mengelak daripada mengancam atau menyerangnya atau anak-anak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.