Bayar GRO ikut harga selempang, paling mahal RM1,000

Bayar GRO ikut harga selempang, paling mahal RM1,000

PUSAT hiburan di Jalan Sungai Besi yang digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sebuah pusat hiburan empat tingkat di Jalan Sungai Besi, dekat sini yang menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran tip sehingga RM1,000 digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam tadi.

Modus operandi pusat hiburan itu adalah dengan menawarkan wanita yang berpakaian mencolok mata sebelum menggoda pelanggan-pelanggan bagi mendapatkan tip.

Utusan Malaysia difahamkan, setiap wanita memakai lima warna selempang berbeza iaitu bagi menandakan harga yang perlu dibayar sekiranya berminat mendapatkan layanan GRO terbabit.

Pelanggan boleh mendapatkan selempang berkenaan dengan harga sekitar RM100 hingga RM1,000 berbeza mengikut warna.

Bayaran sebanyak RM100 untuk selempang warna merah jambu dan paling mahal adalah warna hijau iaitu RM1,000.

Pelanggan perlu membuat bayaran di kaunter dan selempang berkenaan dikalungkan pada wanita terbabit untuk layanan minum serta berhibur.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur dengan bantuan pasukan elit imigresen, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

“Seramai 127 warga asing ditahan hasil pemeriksaan terhadap 254 individu. Daripada jumlah itu, 104 adalah wanita disyaki GRO terdiri daripada lima warga Laos, Thailand (85 orang), Vietnam (11 orang) dan Indonesia (tiga orang) selain 23 lelaki warga asing disyaki pekerja premis membabitkan warga China (lapan orang), Thailand (tiga orang), India (seorang) dan Bangladesh (11 orang),” katanya di sini.

Beliau berkata, pusat hiburan itu seolah-olah tertutup dan tidak beroperasi namun sebaliknya turut menyediakan bilik karaoke.

Katanya, JIM telah menjumpai bilik rahsia selain ruang dinding dan laluan tangga yang banyak bertujuan membolehkan wanita asing terbabit menyorok dan melarikan diri.

“Mengenai selempang yang ditemukan, berkemungkinan mempunyai ‘nilai’ tertentu yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmat layanan berhibur dan minum,” ujarnya.

Tambahnya, semakan mendapati ada antara warga asing terbabit tidak memiliki pasport, datang sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial serta bekerja di lain sektor.

“Selain itu, seorang lelaki tempatan juga telah ditahan kerana cuba memprovokasi pasukan operasi,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya