Bapa tunggal cekal jaga empat anak OKU

Bapa tunggal cekal jaga empat anak OKU

KARIM Zainal (tengah) dan Nasarudin Ibrahim (kanan) melihat Mohamad Faizal yang kini terlantar di Taman Pedas Indah, Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: ‘Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa’. Itu gambaran paling sesuai buat seorang bapa yang cekal bersendirian menjaga empat anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun hingga 22 tahun.

Karim Zainal, 58, yang tinggal Taman Pedas Indah, di sini berkata, dia mempunyai lima anak hasil perkahwinan dengan isterinya, Salina Wan Abdullah yang meninggal dunia lebih lapan tahun lalu akibat sakit darah tinggi.

Sejak itu, katanya, dia yang bekerja sebagai pemandu lori terpaksa membuat keputusan berhenti kerja bagi menjaga anak-anaknya dan hanya berniaga makanan serta minuman secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan.

“Kini, anak sulung, Nurul Ain, 23, bekerja di sebuah kilang. Pendapatan hasil menjual makanan dan minuman tidaklah seberapa malah tidak menentu dan ia memberi kesukaran kepada saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Program Gotong-royong Membersihkan Kediaman Golongan Asnaf di taman itu, baru-baru ini.

Program berkenaan diketuai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Nasarudin Ibrahim bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pedas Hilir, Masjid Dato Haji Eusoff Teh dan disertai oleh lebih 30 individu dari pelbagai agensi.

Menurut Karim, ujian dihadapinya bertambah getir apabila anak ketiganya, Mohamad Faizal, 19, menjalani pembedahan disebabkan masalah membuang air besar dan terus terlantar sehingga memerlukannya memakai lampin pakai buang serta beg stoma.

Mujur katanya, anak keduanya, Mohammad Faiz, 22, boleh diharapkan untuk menjaga adiknya yang terlantar itu termasuk membantu menyalin lampin pakai buang semasa dia keluar berniaga.

“Dua anak OKU saya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Namun, terus terang saya katakan semuanya digunakan untuk keperluan mereka malah sebenarnya memang tidak mencukupi.

“Jadi saya mohon bantuan Baitulmal. Daripada tiga barang keperluan yang saya mohon bantuan iaitu lampin pakai buang, beg stoma dan sarung tangan, hanya satu sahaja yang diluluskan iaitu lampin pakai buang,” katanya.

Menurutnya, setiap satu beg stoma dan tapak beg tersebut hanya boleh dipakai selama dua hari dan setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya 15 beg stoma serta tapak yang bernilai ratusan ringgit.

“Kadangkala saya tidak dapat membayar duit rumah sebanyak RM240 sebulan. Malu juga ada tunggakan tapi terpaksa minta bantuan Baitulmal untuk bayarkan bagi elak rumah ini dilelong,” katanya.

Mana-mana pihak termasuk individu yang ingin membantu dan memberikan sumbangan, boleh menyalurkannya ke akaun Public Islamic Bank 6-8030506-25 atas nama Karim Zainal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN