Banjir kilat: 2 PPS dibuka di Pulau Pinang sejak malam tadi - Utusan Malaysia

Banjir kilat: 2 PPS dibuka di Pulau Pinang sejak malam tadi

SEBANYAK dua buah PPS yang menempatkan mangsa banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang masih dibuka sehingga kini iaitu masing-masing di daerah SPU dan SPS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Sebanyak dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir kilat masih dibuka sehingga kini iaitu masing-masing di daerah Seberang Peai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS), di sini.

Kesemua mereka terjejas akibat banjir kilat ekoran hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan khususnya di sekitar SPU dan SPS dinaiki air tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, kesemua mangsa banjir di SPU ditempatkan di dua lokasi iaitu di dewan komuniti dan Sekolah Agama Kubang Menerong, Tasek Gelugor.

“Setakat pukul 2 pagi tadi, hanya terdapat satu PPS yang dibuka (dewan komuniti) dan menempatkan seramai 38 orang dari sembilan keluarga di daerah SPU,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Difahamkan, daripada 38 mangsa itu, 11 daripada mereka merupakan kanak-kanak, lapan warga emas dan selebihnya adalah lelaki dan wanita dewasa.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di laman sosial menunjukkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad dan bekas Ahli Parlimen, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turun padang melawat beberapa lokasi yang terjejas teruk akibat banjir kilat itu.

Selain SPU, satu lagi PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Nibong Tebal dengan 21 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di situ sejak tengah malam tadi.

Dalam pada itu, portal Public Info Banjir melaporkan, paras air di beberapa sungai utama di SPU kini berada di bawah paras normal sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, paras air Sungai Jawi di SPS masih tinggi, namun berada di bawah tahap berjaga-jaga.

Ketika ini juga, rata-rata kawasan yang dinaiki air dilaporkan telah mulai surut berikutan tiada lagi hujan lebat sejak pagi ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya