Bajet 2023: Kementerian Pembangunan Usahawan mohon peruntukan tambahan - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Kementerian Pembangunan Usahawan mohon peruntukan tambahan

EWON Benedick (depan, tengah) bersama peserta sembang santai dengan masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap peruntukan tambahan dapat disalurkan kepada kementerian dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini sebagai usaha memperkasakan sektor usahawan dan koperasi.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan awal kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM666 juta bagi program pembangunan dan yakin peruntukan tambahan yang dimohon itu akan diluluskan.

“Selain program sedia ada melibatkan agensi di bawah kementerian, program baharu turut dirangka tahun ini antaranya program pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan untuk penjaja dan peniaga kecil dan programn usahawan siswasazah.

“Kementerian mencadangkan tambahan bajet dan walau apapun, berdasarkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan yang diadakan baru-baru ini, ia sangat positif,“ katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi sembang santai bersama masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian yakin Kementerian Kewangan sudah sedia maklum dengan bajet serta program baharu yang dicadangkan.

Beliau berkata, sebanyak 185 program atau projek dicadangkan untuk dilaksanakan kementerian itu serta agensi sepanjang tahun ini.

“Beberapa cadangan baharu juga bersesuaian dengan konsep Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, selain usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, kementerian turut meluluskan moratorium atau penangguhan pembayaran semula pinjaman kepada koperasi yang terkesan akibat bencana banjir pada 9 hingga 31 Disember tahun lalu.

Katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) meluluskan penangguhan pembayaran untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Januari hingga 31 Mac ini.

“Saya menyarankan mana-mana koperasi yang terjejas akibat bencana itu supaya membuat permohonan moratorium kepada SKM supaya fokus lebih besar diberikan bagi pemulihan impak bencana itu,” katanya.

Dalam pada itu, SKM Perak menerusi kenyataan berkata, koperasi turut berperanan dalam meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli.

Menurut kenyataan itu, Perak mencatatkan 27 koperasi Orang Asli berdaftar membabitkan keahlian seramai 2,162 orang dengan modal saham terkumpul sebanyak RM352,000 selain aset RM1.32 juta dan perolehan sehingga Jun tahun lalu RM1.29 juta

“Ini menunjukkan sosio ekonomi Orang Asli di Perak berjaya ditingkatkan melalui platform koperasi. Koperasi adalah pendekatan efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan terutama bagi komuniti Orang Asli.

“Konsep koperasi yang berpaksikan prinsip inklusiviti dan keterangkuman dengan mencipta keuntungan melalui aktiviti milikan bersama adalah bersesuaian untuk diaplikasikan dalam situasi ekonomi kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.