RISDA sasar jualan RM30 juta menerusi Pelan RisSMart 2030

RISDA sasar jualan RM30 juta menerusi Pelan RisSMart 2030

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kiri) dan Manndzri Nasib (lima dari kanan) pada Majlis Perasmian RisSMart Grocer di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan Pelan Strategik RisSMart 2030 dengan sasaran nilai jualan produk usahawan bimbingannya sebanyak RM30 juta menjelang 2030.

Sasaran itu disokong pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran holistik, termasuk pemasaran 1,000 variasi produk (SKU) serta pembangunan 25 SKU jenama RisSMart.

Pelan itu turut merangkumi pembukaan 50 cawangan domestik, lima cawangan global, 15 francais, selain pembangunan pusat pengedaran, hab pemprosesan, pangkalan data dan aplikasi mudah alih.

Timbalan Perdana Menteri dan Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan berkenaan menjadi kerangka tindakan RISDA dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi.

“RisSMart dibangunkan bukan sekadar saluran jualan, sebaliknya sebagai ekosistem peruncitan dan hab pemasaran holistik yang menumpukan pembangunan usahawan dan produk, pengukuhan jenama serta peluasan pemasaran bersepadu melalui teknologi, data dan logistik.

“Ia memastikan produk desa mampu bersaing dengan nilai komersial lebih tinggi. 

“Saya mahu RISDA merealisasikan sasaran pelan ini, termasuk mencapai nilai jualan RM30 juta menjelang 2030,” katanya pada Majlis Perasmian RisSMart Grocer di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad,  Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan  Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Pelan strategik itu menjelaskan hala tuju RisSMart yang mampu menjadi pemangkin kepada peluasan ruang pemasaran produk usahawan di bawah KKDW serta memperkasa ekonomi desa secara inklusif.

Dalam pada itu, pelancaran RisSMart Grocer di Urban Eats @ Kwasa Damansara merupakan usaha Kementerian KKDW melalui RISDA untuk memperluas akses pasaran usahawan desa.

Inisiatif peruncitan moden diterajui RISDA Agri Food Industries Sdn. Bhd. (RAFI) itu menjadi platform menghubungkan pekebun kecil dan usahawan terus kepada pengguna, sekali gus meningkatkan nilai komersial dan daya saing produk.

Sementara itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, ekosistem RisSMart merangkumi RisSMart24, RisSMart Butchery, RisSMart Grocer, RisSMart Pit Stop serta pusat pengedaran dan pemprosesan.

Katanya, ekosistem itu dibangunkan sebagai hab pemasaran produk desa, khususnya daripada komuniti pekebun kecil dan usahawan RISDA.

“Ketika ini, terdapat 14 cawangan RisSMart24, termasuk di R&R Ayer Keroh yang mula beroperasi 17 April lalu, manakala R&R Seremban dijangka dibuka minggu depan.

“Tiga cawangan RisSMart Butchery juga telah beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan RisSMart Grocer memperluas operasi peruncitan serta menghubungkan usahawan secara langsung ke pasaran pengguna.

Sehingga kini, sebanyak 265 SKU usahawan bimbingan RISDA dipasarkan, merangkumi makanan segar, sejuk beku dan barangan keperluan harian.

RAFI turut merancang memperluas rangkaian RisSMart Grocer ke lokasi strategik di seluruh negara sebagai sebahagian pelan transformasi perniagaan berteraskan pertumbuhan mampan.

Selain itu, RAFI kini mengendalikan 14 cawangan RisSMart24 dan tiga RisSMart Butchery, sekali gus memperkukuh kehadiran dalam sektor peruncitan moden berasaskan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×