Bagaimana Bersatu boleh kumpul wang dalam masa singkat? - Anwar Ibrahim 

Bagaimana Bersatu boleh kumpul wang dalam masa singkat? – Anwar Ibrahim 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana parti itu mampu mengumpulkan sebilangan besar wang dalam masa singkat. 

Hal itu berhubung akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion. 

“Bersatu kena jelaskan kepada penyiasat mengapa dalam masa singkat itu boleh kumpul wang dengan banyak. Daripada sumber mana dan kepada siapa? Ini tugas SPRM dan barulah dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC) mengikut proses (undang-undang). 

“Lebih daripada itu saya tidak tahu dan barisan kerajaan tegaskan bahawa siasatan untuk semua, tiada terkecuali untuk kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini. 

Akaun bank Bersatu semalam dilaporkan dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana bernilai RM92.5 bilion. 

Pembekuan itu dilakukan kira-kira dua minggu lalu selepas parti dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19. 

Pendedahan itu berlaku hanya sehari selepas Bersatu mengisytiharkan akaun 2020 dan 2021 dalam usaha untuk menentang dakwaan rasuah.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam mengecam kerajaan yang menurutnya menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk ‘membunuh’ kredibiliti Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN). 

Dalam pada itu, Anwar mengulangi pendirian bahawa badan-badan siasatan, penguatkuasaan dan kehakiman kekal bebas daripada campur tangan eksekutif. 

“Jadi, adalah tidak bertanggungjawab bagi tokoh parti politik dalam proses siasatan membuat tomahan tentang campur tangan Kerajaan Perpaduan. Kami tidak mengulangi sikap menekan seperti dilakukan (kerajaan) terdahulu,” katanya. 

Katanya lagi, beliau menjalankan tugasnya selaku Menteri Kewangan dan melihat projek-projek yang mungkin menelan kos terlalu tinggi tanpa proses tender serta menyifatkan tidak menjadi isu jika tidak dilakukan selain kosnya tidak melambung. 

“Kerajaan tidak menghukum sesiapa. Jadi, dalam projek dana wibawa dan tebatan banjir semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kerajaan mendapati kosnya terlalu tinggi, maka saya dedahkan maklumat daripada Kementerian Kewangan. 

“Yang dilakukan SPRM tidak tertakluk pada pandangan saya. Dia lakukan siasatan rapi dan didapati di dalam akaun parti mencecah lebih RM300 juta. Ini harus dijelaskan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.