WASHINGTON: Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama 45 hari lagi yang diisytiharkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 16 April, menurut Jabatan Negara AS.
Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Piggott berkata, tempoh penghentian permusuhan yang bermula pada 16 April itu dilanjutkan bagi membolehkan kemajuan selanjutnya dalam rundingan.
Jabatan Negara turut menyifatkan rundingan Israel–Lubnan yang diadakan di Washington pada Khamis dan Jumaat sebagai ‘sangat produktif’, serta memaklumkan kedua-dua pihak akan menyambung semula perbincangan pada 2 dan 3 Jun.
Rundingan minggu ini merupakan pertemuan ketiga antara kedua-dua pihak sejak Israel memperhebatkan serangan udara ke atas Lubnan selepas Hizbullah melancarkan peluru berpandu ke Israel pada 2 Mac, tiga hari selepas perang AS–Israel ke atas Iran bermula.
Israel turut memperluaskan pencerobohan daratnya ke selatan Lubnan pada April.
Peperangan yang berlaku selari dengan konflik AS–Iran itu terus berlarutan di Lubnan sejak Trump mengisytiharkan gencatan senjata pada 16 April, walaupun pertempuran kebanyakannya tertumpu di selatan Lubnan sejak itu.- AGENSI










