ASEAN kutuk pelampau bakar al-Quran

ASEAN kutuk pelampau bakar al-Quran, sokong usaha damai di Myanmar

ZAMBRY Abd. Kadir (kiri) bergambar selepas tamat Sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Jakarta, Indonesia hari ini. - Foto ihsan Sekretariat ASEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kepimpinan serantau mengutuk keras siri tindakan oleh pelampau Barat yang sengaja biadab membakar al-Quran di beberapa buah negara Eropah bulan lepas.

Menurut kenyataan diterbitkan Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia, perbuatan oleh ekstremis terlibat adalah jelas satu bentuk penghinaan dan melukakan toleransi beragama.

“Kami menegaskan sekali lagi komitmen ASEAN untuk terus menyuburkan pelbagai sesi dialog dan pemahaman serta mahu mempromosikan semangat yang muhibbah,” katanya.

Kenyataan sepanjang 53 perenggan dan setebal sembilan halaman itu merupakan antara ketetapan Program Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di ibu kota republik tersebut.

Acara itu yang berakhir pada hari ini dipimpin oleh Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi susulan republik tersebut ialah pengerusi baharu blok rantau Asia Tenggara itu tahun ini.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir manakala tiada delegasi dari Myanmar yang dijemput menyertai sesi berkenaan ekoran krisis politik di negara itu.

Program tahunan itu dimulakan dengan Mesyuarat Penyelarasan ASEAN Ke-32 semalam dengan julung kali disertai wakil Timor Leste sebagai anggota baharu berstatus pemerhati.

Mengulas lebih lanjut, kenyataan tersebut walau bagaimanapun secara diplomatik tidak menyatakan spesifik pelaku-pelaku yang terbabit dalam insiden pembakaran al-Quran itu.

“ASEAN mengulangi pendirian bahawa blok serantau 11 negara ini ingin semua komuniti rencam sejagat agar hidup bersama secara harmoni dalam kepelbagaian global,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyentuh mengenai misi usaha perdamaian di Myanmar berdasarkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang ditetapkan sebelum ini.

Justeru, Setiausaha Agung ASEAN yang baharu, Kao Kim Hourn akan ke sana bagi mengenal pasti ruang untuk menamatkan kemelut yang sudah pun berlarutan lebih dua tahun itu.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut bersepakat agar kemelut di Laut China Selatan yang semakin tegang antara pelbagai kuasa dunia dapat diselesaikan secara penuh berhemah.

Meskipun tidak dinyata secara jelas, kenyataan itu merujuk kebimbangan banyak negara terhadap tindakan China menambak laut bagi dibina pangkalan tentera di lokasi tertentu.

Tindakan tersebut walaupun amat jelas menyalahi undang-undang antarabangsa, namun langkah negara itu dipercayai untuk menuntut perairan tersebut sebagai wilayahnya kelak.

“Kami ingin menegaskan komitmen untuk mempertahankan rantau ini sebagai zon bebas senjata nuklear dan sebarang bentuk persenjataan demi keamanan berkekalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memberi bayangan bahawa ASEAN akan sedia bekerjasama dengan beberapa blok serantau lain bagi meneroka pelbagai bidang baharu.

Antaranya ialah Forum Kepulauan Pasifik yang dianggotai 17 buah negara di lautan berkenaan dan Majlis Kerjasama Teluk yang disertai lima buah negara di rantau Asia Barat.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya