KUALA LUMPUR: Tidak lagi berselindung, Datuk Armand Azha Abu Hanifah antara ahli Pemuda UMNO yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti kali ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau akan mengubah Pemuda UMNO yang kini dilihat tidak progresif kerana mengambil langkah selamat untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat kebenaran untuk parti.
“Pemuda hari ini terlampau apologetic, hari ini Pemuda kena tegas, berani di samping menyatakan pendirian mereka, sebab hari ini Pemuda kalau sampai takut hendak keluar kenyataan sebab bimbang dipenjara dan sebagainya, tidak boleh. Kita perlu pertahankan prinsip, saya pernah masuk lokap kerana pertahankan parti.
“Saya sudah berada di dalam UMNO dengan macam-macam pimpinan baik Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya juga lahir dari kilang Pemuda sewaktu di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin.
“Jadi saya akan gabungkan kesemuanya untuk membawa suara Pemuda agar menjadi satu dasar dalam Majlis Tertinggi supaya ia diterima pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Armand sebelum ini menyatakan secara jelas hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini setelah ia dikosongkan oleh bekas Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Tambah Armand, UMNO seharusnya perlu lebih bersederhana seperti di bawah pimpinan Najib di mana parti itu lebih diterima semua kaum.
“Kita tidak boleh terlalu hanya berpihak kepada satu sudut, UMNO perlu kembali kepada asas iaitu mempertahankan parti serta perlu kembali bersuara untuk menjadi semak dan imbang.
“Kita juga perlu ada pengalaman dari segala sudut gerak kerja untuk memastikan bagaimana hendak mendapatkan undi daripada golongan muda kerana orang muda sekarang ini kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengundi kita, kita kena faham mereka,” ujarnya lagi.
Malah, jika beliau diberi mandat sebagai Ketua Pemuda, Armand turut menjelaskan suara Pemuda sudah pasti boleh dibawa ke pimpinan tertinggi kerana beliau juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang serta ahli MT UMNO.
Selain Armand, seorang lagi dikatakan berminat untuk bertanding jawatan yang sama ialah Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jasin.
Beliau secara jelas menyatakan hasrat tersebut ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 baru-baru ini.
Namun jelasnya, beliau masih mempertimbangkan mengenai perkara itu dan jika beliau mengisi kekosongan jawatan Ketua Pemuda, sudah pasti beliau akan memantapkan lagi perjuangan parti pada masa akan datang. – UTUSAN










