Armada dakwa Anwar, Zahid ‘cipta’ fitnah terhadap Muhyiddin - Utusan Malaysia

Armada dakwa Anwar, Zahid ‘cipta’ fitnah terhadap Muhyiddin

MOHD. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (tiga kanan) bersama ahli dan kepimpinan Armada menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di IPD Kota Setar di Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berikutan tohmahan dan pernyataan didakwa mengelirukan yang berlegar sejak hari mula Kerajaan Perpaduan terbentuk November lalu.

Ketua Penerangannya, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pelbagai tohmahan dan fitnah itu disebarkan sejak mula Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bagi menutup kepincangan yang ada.

Katanya, fitnah itu juga dibuat bagi tujuan politik untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam serta menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Muhyiddin, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

“Konspirasi jahat ini dapat dilihat apabila Ahmad Zahid yang menghadapi lebih 40 pertuduhan di mahkamah pernah mengumumkan bahawa kluster mahkamah yang baharu akan datang daripada PN dan Bersatu. Konspirasi ini juga terlihat apabila Anwar mengumumkan bahawa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyeleweng RM600 billion pakej rangsangan ekonomi.

“Nilai itu berubah-ubah sebelum timbul pula cerita menyatakan Muhyiddin serta Bersatu mendapat komisen antara tiga hingga lima peratus daripada kontraktor-kontraktor hingga memberi gambaran palsu kononnya PN dan Bersatu dapat habuan RM4.5 bilion,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung perkara itu di sini, hari ini.

Dalam laporan polisnya itu, Mohd. Ashraf turut mendakwa bahawa Anwar telah membuat ugutan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan PN.

“Perdana Menteri pernah beri peringatan kepada Muhyiddin agar jangan cabarnya kerana kononnya terdapat proses dan prosedur tidak dipatuhi selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkaitan keluarga Presiden Bersatu itu terlibat dengan penyelewengan tersebut.

“Selain itu Anwar juga pernah ‘menasihatkan’ Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar tidak bersikap gopoh kerana beliau Menteri Kewangan dan memiliki fail berhubung hal tersebut,” katanya.

Justeru katanya, tindakan membuat laporan polis itu adalah bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan yang memperguna agensi penguat kuasa untuk menyalahgunakan proses undang-undang bagi membawa ‘kerosakan’ terhadap Muhyiddin serta Bersatu.

“Perbuatan mereka akan melumpuhkan demokrasi Malaysia dan amat bercanggah dengan keluhuran Perlembagaan serta undang-undang. Saya mohon polis menyiasat perkara ini dan mendakwa pihak-pihak terbabit demi menjamin keamanan serta keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya