Anwar menuju ke Parlimen untuk Belanjawan 2023 - Utusan Malaysia

Anwar menuju ke Parlimen untuk Belanjawan 2023

ANWAR Ibrahim menunjukkan beg yang berisi dokumen sebelum menuju ke Parlimen bagi pembentangan Bajet Belanjawan 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari bangunan Kementerian Kewangan ke Parlimen pukul 3.07 petang tadi untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membimbit beg fail warna hitam bermotif corak tenunan Sarawak berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023.

Ahli Parlimen Tambun itu segak berpakaian baju Melayu lengkap warna biru muda bersamping diiringi dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.

“Samping ini dari Penjara Penor, Kuantan Pahang dan capal dari Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya ketika memperkenalkan pakaian dipakainya.

Ditanya apa perasaannya selepas kembali membentangkan belanjawan selepas 26 tahun, Anwar berkata: “Saya mahu sempurnakan tanggungjawab,” katanya ringkas.

Pembentangan belanjawan ini adalah yang pertama selepas Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar dibentuk pada 2 Disember lalu.

Pastinya ia mengimbau kenangan buat Anwar untuk tampil kembali membentangkan belanjawan sebagai Menteri Kewangan selepas kali terakhir pada 26 tahun lalu.

Anwar pernah membentangkan belanjawan ketika memegang portfolio menteri kewangan dari 1991 hingga 1998.

Sebelum memulakan perjalanan, majlis didahulu dengan bacaan doa diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan, Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail.

Belanjawan 2023 disemak semula untuk dibentangkan pukul 4 petang ini di Parlimen hari selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pada pembentangan Mini Bajet 2023 pada 20 Disember tahun lalu, beberapa inisiatif diumumkan termasuk Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 ringgit kepada semua penjawat awam dari Gred 11 hingga 56.

Kerajaan juga bersetuju menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari lalu.

Bajet 2023 bernilai RM372.3 bilion pernah dibentangkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian iaitu 10 Oktober, Parlimen dibubarkan bagi memberi ruang kepada PRU15 yang diadakan pada 19 November 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN