Anthony Loke belum mahu jawab soalan dasar pengecualian kabotaj  - Utusan Malaysia

Anthony Loke belum mahu jawab soalan dasar pengecualian kabotaj 

ANTHONY Loke Siew Fook (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim (kanan) melihat pelan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Pendirian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sama ada mahu melaksana semula dasar pengecualian kabotaj yang telah ditarik Kabinet terdahulu masih tidak jelas apabila beliau mengelak daripada menjawab soalan pemberita.

Katanya, beliau hanya akan memberi penjelasan berkenaan isu tersebut pada masa akan datang, namun tidak pasti jika tempohnya berlangsung dalam masa terdekat sebelum pembukaan mesyuarat Parlimen penggal ke-15, pada 13 Februari ini.

Beliau enggan agenda utama yang dihadiri hari ini dialih kepada isu-isu lain yang tidak berkaitan.

“Kabotaj kita akan bincang tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja kementerian itu ke MRT Laluan Putrajaya, di sini hari ini.

Pada Disember tahun lalu, Utusan Malaysia dalam laporannya mempersoal pendirian Siew Fook berkenaan dasar pengecualian kabotaj yang pernah dilaksana semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam mesyuarat Parlimen ke-14, Siew Fook merupakan Ahli Parlimen Seremban daripada DAP yang juga bekas Menteri Pengangkutan ketika itu dan Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA), Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan sering berbalah kerana tidak sehaluan berhubung pengecualian kabotaj.

Memandangkan PH dan Barisan Nasional (BN) masing-masing berada dalam blok kerajaan di Dewan Rakyat, dasar pengecualian kabotaj dijangka menguji kebolehlaksanaannya termasuk Ka Siong jika membuat pusingan ‘U’ menyokong pengecualian kabotaj atau kekal menolak.

Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan antara PH, BN serta beberapa gabungan parti lain pada Pilihan Raya Umum (PRU15), isu dasar pengecualian kabotaj tidak pernah timbul.

Ini sedangkan Siew Fook yang berperanan dalam mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara – semasa menjadi Menteri Pengangkutan di era PH.

Tidak lama selepas PH tumbang digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ka Siong pada November 2020 menarik semula pengecualian itu.

Rentetan tindakan Ka Siong yang menarik semula dasar tersebut, ia didakwa menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam kalangan negara terlibat bagi projek kabel internet dasar laut.

Dasar kabotaj adalah dasar diperkenal kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.

Ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing, mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia boleh menggunakan laluan pelayaran domestik melainkan pengecualian diberikan.

Pemasangan kabel internet dasar laut amat penting bagi membekalkan kapasiti internet sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.

Malaysia sebelum ini dilapor terlepas peluang daripada terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer, yang menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura – akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan.

Walaupun Ka Siong menegaskan dasar kabotaj bukan faktor tunggal Malaysia tidak terlibat dalam projek kabel internet dasar laut Apricot, namun, dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang telah ditarik semula.

Syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft pernah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj.

Ini kerana, ia dikatakan memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.