Abdul Wahab dilantik jadi KP JBPM baharu

Abdul Wahab dilantik jadi KP JBPM baharu

NOOR Azman Taib menyaksikan nota serah tugas Abdul Wahab Mat Yassin (kiri) dan Edwin Galan Teruki (kanan) di Ibu Pejabat JPBM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Abdul Wahab Mat Yassin dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkuat kuasa hari ini.

Majlis Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat ketua pengarah kelapan agensi itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Noor Azman Taib.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan tempat Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid yang bersara wajib setelah mengakhiri perkhidmatan selepas 35 tahun berbakti dalam JBPM.

Sebelum ini, Abdul Wahab bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM sejak 12 Februari 2019 dan pernah menyandang beberapa posisi penting dalam jabatan, antaranya Pengarah Bahagian Operasi (2018 hingga 2019), Pengarah JBPM Pahang (2010 hingga 2018) dan Pengarah JBPM Terengganu (2008 hingga 2010).

Turut diadakan pada majlis berkenaan ialah majlis penyerahan nota serah tugas dan tongkat kuasa oleh Abdul Wahab kepada penggantinya pula iaitu Datuk Edwin Galan Teruki.

Beliau sebelum itu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM sejak 2021 manakala tempat tersebut diisi pula oleh Datuk Nor Hisham Mohamad.

Edwin bahkan pernah bertugas sebagai Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran (2018 hingga 2021) serta Penolong Ketua Pengarah di bahagian tersebut (2008 hingga 2018).

Dari segi pengalaman, beliau diiktiraf selaku pakar bidang forensik kebakaran dan pernah mengetuai siasatan beberapa kes berprofil tinggi seperti insiden loji penapisan minyak.

Kepakaran beliau malahan turut diiktiraf pihak Kementerian Pengajian Tinggi sehingga pernah dilantik sebagai penasihat pengajian Sains Forensik oleh kementerian berkenaan.

Nor Hisyam pula sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan pernah menyandang banyak posisi penting di JBPM selain terlibat dalam beberapa misi tugasan besar di seluruh negara termasuklah sebagai komander operasi kebakaran.

Antaranya ialah insiden kebakaran terminal minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor dan kes feri karam di Belaga, Sarawak yang telah mengorbankan seramai 181 mangsa.

Tidak ketinggalan ialah sebagai komander kanan untuk operasi mencari dan menyelamat sebuah helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri pada 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya