60 peneroka kesal tanah getah yang diusahakan diceroboh

60 peneroka kesal tanah getah yang diusahakan diceroboh

SEBAHAGIAN penduduk yang menyertai bantahan aman terhadap pencerobohan didakwa dilakukan oleh sebuah syarikat swasta di Kampung Peralla 2, Tanah Merah, Kelantan. – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seramai 60 peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kampung Peralla 2, di sini menuntut pembelaan selepas mendakwa tanah yang diusahakan mereka dengan tanaman getah diceroboh pihak luar tanpa sebarang perundingan.

Dakwa mereka, pencerobohan oleh sebuah syarikat swasta itu berlaku sejak Jun tahun lalu itu melibatkan tanah seluas 150 hektar.

Peneroka, Abdul Hadi Mat Hussin, 64, mendakwa, sebagai generasi kedua yang me­ngusahakan tanaman getah di kawasan itu dia merasa terania­ya dengan pencerbohan oleh sebuah syarikat swasta untuk projek cari gali bijih timah.

Dakwa mereka, pihak ber­kenaan telah masuk ke kawa­san itu sejak 18 Jun tahun lalu dan melakukan kerja cari gali sehingga mereka terpaksa menghantar memorandum bantahan serta membuat laporan polis supaya kerja-kerja terbabit diberhentikan.

“Akhirnya kerja-kerja terbabit dihentikan sebulan selepas itu (Julai 2022), namun pihak berkenaan masih gagal me­ngadakan perbincangan de­ngan peneroka.

“Sehinggalah pada Selasa lalu, kami melihat terdapat jentera milik syarikat berkenaan didapati telah cuba memasuki tanah yang diusahakan kami dan memulakan semula kerja-kerja cari gali tanpa persetujuan pihak peneroka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan bantahan aman di Kampung Peralla 2, di sini semalam.

Seorang lagi peneroka, Halimah Yaacob, 78, memberitahu, sebelum mereka yang mengusahakan tanah di kawasan ini tidak pernah berdepan dengan situasi tersebut.

Katanya, hasil jualan getah yang diusahakan di kawasan menjadi punca utama pendapatan untuk membesarkan anak-anak sebelum ini.

“Kami harap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini secara bijaksana kerana ia menyebabkan peneroka akan hilang punca pendapatan,” ujarnya.

Bagi Jali Mamat, 60, pula, dia berharap pihak berkenaan membayar pampasan kepada peneroka.

“Kami merupakan anak jati di kawasan ini dan menoreh getah merupakan sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Jika tanah yang kami usahakan ini diceroboh, maka ke manalah kami hendak mencari rezeki? hanya di sinilah sumber mata pencarian kami sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Kesedar, Dr. Shahrir Mohd. Zakey ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara terbabit dan akan melakukan siasatan lanjut.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya