16 cedera bas ekspres terbalik - Utusan Malaysia

16 cedera bas ekspres terbalik

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik di lebuh raya BORR.menghala ke Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi yang menyebabkan 16 orang cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seramai 16 orang termasuk pemandu bas mengalami kecederaan selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian kurang lima minit kemudian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, tambahnya, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik melibatkan 16 mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita.

Jelasnya, Komander Operasi JBPM kemudian membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE)  lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

“Terdapat seramai 16 mangsa di dalam bas dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM setelah tiba di lokasi.

“Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujar beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dibantu oleh BBP Perai.

Tambah beliau, kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.29 pagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya