PETALING JAYA: Sebanyak 15 peratus penduduk Malaysia tidak pernah melawat pengamal pergigian untuk mendapatkan rawatan, seumur hidup mereka.
Perkara itu menurut satu tinjauan yang didedahkan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Justeru, katanya, selain daripada cabaran yang dihadapi dalam sektor kesihatan umum, inisiatif bagi bahagian pergigian seperti fokus perkhidmatan kepada golongan bersasar merangkumi golongan rentan dan terpinggir perlu ditingkatkan.
“Terima kasih pasukan Kesihatan Pergigian yang diketuai Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) oleh Dr. Noormi Othman atas penyampaian taklimat menyeluruh mengenai Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan.
“Saya menyatakan sokongan atas usaha melalui Program Kesihatan Pergigian dengan kerjasama sektor swasta dalam aspek penjagaan, pencegahan klinikal, rawatan dan pemulihan gigi,” katanya. – UTUSAN










