KUALA LUMPUR: Seramai 141,144 suri rumah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak diperkenalkan mulai 1 Disember lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, daripada jumlah tersebut, 135,281 orang adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan skim i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana caruman SKSSR mereka ditaja kerajaan selama setahun di bawah peruntukan Bajet 2022.
“Kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus melaksanakan aktiviti libat urus, program kesedaran, promosi dan sebagainya bagi memastikan rakyat Malaysia memahami tentang SKSSR dan perlindungan yang disediakan.
“Dengan sokongan padu Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pelancaran rasmi SKSSR hari ini, saya percaya kementerian dan Perkeso dapat mencapai sasaran 500,000 pencarum SKSSR bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang disempurkan Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Malaysia adalah negara pertama di rantau ini dan keempat di dunia yang memperkenal sistem perlindungan sosial kepada suri rumah.
SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2022 ( Akta 838) menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik dan keilatan kepada suri rumah sewaktu menjalankan urusan rumah tangga.
Dalam masa yang sama, Sivakumar berkata, kementeriannya melalui Perkeso turut menyediakan perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan menerusi gantian pendapatan dan carian pekerjaan baharu.
Jelasnya, pasaran buruh yang kukuh akan menjana peluang pekerjaan yang berkualiti untuk bakat-bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Oleh itu, perkhidmatan pekerjaan dan pelbagai Program Pasaran Buruh Aktif yang dilaksanakan Perkeso menerusi Portal Pekerjaan MYFutureJobs terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pasaran buruh negara dan membantu rakyat memperoleh pekerjaan.
“Hasil daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, kita dapat lihat pasaran buruh Malaysia bertambah baik pada suku ketiga tahun 2022, berikutan peralihan negara ke fasa endemik, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pembukaan semula sempadan negara, ” ujarnya.
Sehingga 31 Disember 2022, daripada 879,601 jumlah pencari kerja yang berdaftar dengan MYFutureJobs, lebih 294,044 ditempatkan dalam pekerjaan baharu. – UTUSAN