121 rakyat Malaysia masih terkandas sindiket job scam, love scam

121 rakyat Malaysia masih terkandas sindiket job scam, love scam

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 339 rakyat Malaysia terkandas di beberapa buah negara akibat sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, membabitkan negara Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Filipina dan Dubai.  

Menjelaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 121 masih terkandas dan kini pihaknya sedang bekerjasama dengan polis bagi membawa pulang mangsa-mangsa yang masih lagi terkandas.

Turut dijelaskan, Saifuddin berkata, tiada laporan kehilangan nyawa setakat ini.

“Kerja-kerja polis belum selesai, bila kita dah cut off, tugas kita adalah untuk menyelamatkan 121 mangsa itu, hakikatnya, jumlah itu adalah berdasarkan laporan mereka berada di mana-mana negara, kerjasama ini melibatkan Police-to-Police (P2P), kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan juga Organisasi Polis Jenayah (INTERPOL) untuk selamatkan 121 mangsa itu, Pengarah Siasatan Jenayah juga kini berada di Thailand,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut berkata, laporan mengenai sindiket penipuan ini mulai wujud dalam makluman pihak polis setelah keluarga mangsa membuat laporan selepas tiga tahun mangsa berada di negara-negara berkenaan.

“Bila tanya kepada mangsa, kenapa pergi ke negara terbabit, mereka kata tertarik dengan iklan dalam sosial media, kerja pegawai khidmat pelanggan, kerja di kasino, jurubahasa dan mereka dijanjikan akan dibayar dengan matawang dolar, tiket penerbangan dan penginapan ditanggung, jadi mereka tertarik dan pergi, namun keadaan di sana tidak seperti itu.

“Mereka hanya baca headline sahaja,” ujarnya.

Tegas Saifuddin, beberapa pendekatan telah diambil dengan menguar-uarkan perkara berkenaan supaya tiada lagi rakyat Malaysia yang tertipu dengan sindiket berkenaan

“Ada keperluan mendesak untuk kempen pencegahan dibuat. Polis muncul di kaca televisyen, sosial media, saluran penerangan, menguarkan kepada rakyat supaya lebih berhati-hati. Malah, polis juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas, dari situ ada kerjasama dua peringkat dalam negara melibatkan Kementerian Luar Negeri sebagai peneraju utama, ada komiti yang akan menangani masalah sindiket penipuan, kerjasama dengan pihak antarabangsa juga penting dengan negara yang terlibat berdasarkan aduan yang diterima.

“Pekerjaan mangsa ini satu sahaja iaitu scam orang untuk labur crypto currency. Love scam, ubah identiti. wujudkan hubungan supaya mangsa percaya dan barulah ke peringkat seterusnya untuk membuat pembayaran secara dalam talian,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN