————————————-Mukadimah——————————————————————————————————————————————————————-
Siri 2 (akhir)
Apa risiko orang muda tidak berkarya. Talian hayat bidang sastera dan penulisan tanah air banyak bergantung sejauh mana karya terus dihasilkan dan tanggungjawab ini wajar dipikul golongan muda, Masalahnya adakah orang muda masih terbabit dalam bidang sastera dan penulisan. Laporan khas mini oleh LAUPA JUNUS ini mengupas penglibatan orang muda dalam sastera dan persepsi mereka dalam bidang tersebut, sama ada sebagai penerbit, pembaca dan pengkarya kategori golongan muda.
———————————————————————————————————————————————————————————————————–
Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini ada menjalankan kajian atas inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan bagi mencari sejauh mana novel Melayu masih mendapat tempat dalam khalayak pembaca tempatan.
Kajian tersebut bertitik tolak daripada isu yang dibangkitkan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Johan Jaafar bahawa minat khalayak terhadap novel Melayu semakin berkurang. Selain itu, wujudnya persepsi tiada lagi karya besar dan berkualiti dalam bahasa Melayu.
Johan juga mendakwa dalam penulisannya bahawa kualiti novel masa kini menyedihkan kerana penggunaan bahasa yang buruk dalam novel-novel picisan. Maka, Johan mahu supaya usaha meletakkan landas bahasa yang tinggi sebagai alat dalam karya sastera perlu diutamakan.
Kajian tersebut dijalankan sekumpulan penyelidik UPM diketuai oleh Dr. Jeffrey Lawrence D Silva, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Prof Dr Haslinda Abdullah, Dzulhaimi Dahalan dan Nurul Akhtar Kamarudin manakala pegawai DBP yang terlibat ialah Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP Saifulizan Yahaya, Dr. Wan Kharoslinda Wan Mohd. Khaiti, Dr. Syaidul Azam Kamaruddin, Siti Haslina Subaker dan Nurul Hidayah Yusof.
Kajian tersebut dijalankan atas pelbagai isu yang perlu disentuh iaitu, apakah kualiti novel berbahasa Melayu terbitan DBP di pasaran daripada perspektif belia di Malaysia? Sejauh mana penerimaan novel berbahasa Melayu terbitan DBP di pasaran daripada perspektif belia di Malaysia berbanding penerbit lain?

Turut disentuh adalah apakah genre novel berbahasa Melayu di pasaran yang paling diminati dalam kalangan belia di Malaysia? Apakah strategi penerbitan DBP dalam mendepani isu kualiti novel berbahasa Melayu pada masa akan datang ke arah meningkatkan penerimaan belia terhadap novel berbahasa Melayu?
Kajian tersebut membabitkan belia Malaysia berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dengan menggunakan dua pendekatan pengumpulan data iaitu secara bersemuka dan dalam talian dengan keseluruhan sampel kajian membabitkan 262 belia yang majoritinya Melayu dan berpendidikan ijazah pertama.
Secara keseluruhannya antara didapati kajian adalah kebanyakannya kerap membaca novel, dan rata-rata membelinya sendiri selain meminjam daripada perpustakaan, pinjaman daripada rakan-rakan.
Dapatan kajian juga menunjukkan kebanyakan menetapkan harga novel sebelum membelinya dan didapati purata perbelanjaan membeli novel bahasa Melayu (BM) ialah RM 115.93 manakala purata had harga membeli novel BM ialah minimum RM91.15.
Dalam pada itu, dalam banyak genre yang ditinjau, kebanyakan responden belia memilih genre percintan dan seram atau misteri, selain fiksyen, fantasi dan pengembaraan.
Responden juga sepakat bahawa novel bahasa melayu di pasaran mempunyai ciri ciri , memberi kesan yang mendalam pada emosi (sedih, gembira, marah dan empati) , …mempunyai potensi untuk diadaptasi (teater,drama, filem, animasi dan lain-lain)
Kesimpulannya ciri utama novel yang mendapat perhatian pembaca adalah novel yang memberi kesan emosi yang mendalam dan mempunyai tema serta jalan cerita yang menarik.
Selain itu, jenis dan saiz tulisan juga penting untuk memastikan pembaca kekal fokus untuk meneruskan pembacaan.
Novel berkenaan juga berpotensi wajar diadaptasi ke skrin dalam mendidik masyarakat ke arah kebaikan manakala penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa asing dan tajuk yang menarik (catchy) dan penulisan yang menggambarkan identiti penulis tidak menjadi pilihan pembaca.
Novel yang menarik dalam kalangan responden mestilah mempunyai isi kandungan yang baik, perlu memberi nilai tambah kepada pembaca selain perlu mempunyai tajuk, kulit buku dan rangsang sari (blurb) yang menarik (catchy)
Novel berkenaan juga perlu bersifat santai kerana ia memberikan pengalaman membaca yang lebih mudah difahami dan menyenangkan.
Bagi penerbit seperti DBP , strategi yang baik dan berkesan bagi menambah baik skor terendah (dorongan keluarga, hanya memilih terbitan daripada penerbit tertentu sahaja dan novel tidak tertakluk kepada sesuatu genre tertentu).
Dalam pada itu menurut Saifullizan, dalam mendepani cabaran industri perbukuan masa kini, penerbitan novel perlu beralih ke arah pendekatan yang lebih progresif dan berorientasikan pasaran.
Langkah utama yang perlu diambil adalah memberikan keutamaan kepada genre popular seperti percintaan, seram, misteri, serta sains fiksyen dan fantasi.
Genre-genre ini merupakan tunjang utama yang mampu menarik minat pembaca pelbagai lapisan umur, sekali gus menjamin kelestarian ekonomi industri kreatif.
Bagaimanapun, kandungan yang hebat sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan estetika visual. Aspek luaran buku seperti reka bentuk kulit yang moden, pemilihan tajuk yang provokatif, dan penulisan blurb yang menangkap emosi harus diberi perhatian serius. Elemen visual ini bertindak sebagai daya tarikan pertama yang menentukan sama ada sebuah karya akan dipilih atau dibiarkan di rak buku.
“Di samping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit autoriti perlu bersikap lebih dinamik dan cakna terhadap evolusi cita rasa pembaca serta trend semasa. DBP tidak seharusnya terikat dengan acuan lama, sebaliknya perlu terus menerokai naratif berkualiti yang segar agar dapat bersaing dalam pasaran terbuka.
“Sinergi antara kualiti sastera dan daya tarikan komersial ini adalah kunci utama bagi melahirkan naskhah yang bukan sahaja bermutu tinggi, malah mendapat tempat di hati masyarakat, tanpa mengabai nilai-nilai sastera dan estetika bahasa yang baik,” ujarnya. –UTUSAN









