TAWAU: Sebanyak 12 buah rumah setinggan musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Jawa hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kebakaran itu pada pukul 12.38 tengah hari dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3 kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati 12 buah rumah dengan anggaran keluasan satu hektar musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran tersebut.
“Operasi pemadaman api dilakukan dengan menggunakan dua aliran 500 kaki empat pancutan yang menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran dan dibantu dengan satu pancutan daripada pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Operasi memadam kebakaran terkawal pada pukul 1.56 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.27 petang.- UTUSAN