Usul tiada pertandingan tidak ikut proses betul

Usul tiada pertandingan tidak ikut proses betul

Usul tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang didakwa dibuat tidak mengikut tatacara yang betul. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 kelmarin, didakwa melibatkan konspirasi licik yang sengaja menyeludup masuk usul tersebut tanpa melalui prosedur betul.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, perkara itu jelas apabila ada usul kelapan ‘menyelinap masuk’ ketika pembentangan ucapan dasar sedang berlangsung.

Sedangkan, katanya, jurucakap tertakluk kepada tanggungjawabnya untuk membahaskan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun perkara sebaliknya berlaku apabila secara tiba-tiba muncul pula usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan presiden parti tidak dipertandingkan.

“Ini kerana apabila ada tujuh usul yang dibawa dalam ucapan dasar Presiden, tiba-tiba ada usul kelapan dibawa oleh pembahas ucapan dasar Presiden daripada Negeri Sembilan, dan disokong oleh Terengganu.

“Macam mana boleh jadi macam itu? Sedangkan, tanggungjawab jurucakap adalah untuk membahaskan ucapan dasar Presiden. Macam mana dalam proses membahas dasar itu, tiba-tiba pula boleh muncul usul,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, usul yang dibentangkan kelmarin langsung tidak mengikut tatacara dan prosedur yang betul, malah melanggar proses sebenar parti dalam mengemukakan dan meluluskan satu-satu usu iaitu kena ikut notis 14 hari dan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), bukannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Atau, ia dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, kemudian perlu dibawa ke dalam mesyuarat perhimpunan agung untuk diluluskan, kemudian dibawa ke EGM. Jadi, ada banyak proses yang saya rasa nampak macam janggal,” katanya.

Kelmarin, perwakilan UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mencetuskan kontroversi apabila mengusulkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, dengan lebih 90 peratus perwakilan UMNO didakwa menyokong usul tersebut.

Dalam pada itu, Perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad yang dihubungi berkata, usul yang mendorong keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti semalam, bertentangan dengan Fasal 30, Perlembagaan UMNO serta Perkara 10, Peraturan Persidangan.

“Usul ini juga dilihat bertentangan dengan Fasal 30, Perlembagaan UMNO dan Perkara 10, Peraturan Persidangan.

“Sebab, usul ini sepatutnya diangkat kepada pihak Majlis Tertinggi terlebih dahulu untuk meluluskannya sama ada dibahas atau sebaliknya tetapi ia tidak melalui proses itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN