Undang-undang lapuk British bakal disemak - Utusan Malaysia

Undang-undang lapuk British bakal disemak

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Undang-undang lapuk bakal disemak oleh pihak kerajaan bagi memastikan ia sesuai digunakan mengikut peredaran dan perkembangan semasa.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang daripada zaman penjajahan British, jadi wajar disemak.

Menurut beliau, antara undang-undang tersebut adalah Akta Kontrak 1950 Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Akta Fitnah 1957.

“Sebagai contoh, cubaan bunuh diri adalah kesalahan jenayah yang diimport oleh penjajah British melalui Indian Penal Code. United Kingdom memansuhkan kesalahan tersebut pada 1961 tetapi Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih kekal dalam undang-undang kita.

“Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental. Oleh itu, saya berkomited untuk menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Bengkel Reformasi Institusi bersama Kementerian, Jabatan, Agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Sesi bengkel tersebut diadakan bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pemegang-pemegang taruh, malah semua dapatan daripada sesi libat urut akan didokumentasikan serta dianalisis sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Azalina berkata, penggunaan terminologi perundangan yang mempunyai konotasi negatif sehingga mempengaruhi stigma dan menyebabkan diskriminasi masyarakat terhadap komuniti tertentu juga perlu disemak.

“Misalnya perkataan-perkataan ‘dumb witness’ dan ‘idiot’ masih digunakan dalam Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.

“Saya berpendapat penggunaan terminologi bukan perkara yang kecil tetapi harus diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam proses semakan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, dalam berdepan dengan pasca pandemik Covid-19, bukan sahaja daya persaingan ekonomi negara perlu dipertingkatkan dari segi infrastruktur maklumat tetapi juga kerangka undang-undang.

“Oleh itu, Akta Profesion Undang-Undang 1976, Akta Jualan Barang 1957, Akta Kontrak 1950 dan Akta Insolvensi 1967 akan disemak semula,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya